Polis rakam keterangan lima individu bantu siasatan kes keropok beracun

Polis rakam keterangan lima individu bantu siasatan kes keropok beracun

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis sudah mengambil keterangan lima individu bagi melengkapkan siasatan dua beradik termakan keropok dicampur racun tikus sehingga menyebabkan salah seorangnya meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Beliau turut mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di Lubuk Buntar, Serdang pada pukul 12 tengah hari semalam dan kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

“Selain mati mengejut (SDR), kita juga menyiasat kes ini mengikut dua seksyen tersebut. Apa-apa pun saya mohon beri ruang kepada pihak polis untuk menyiasat perkara ini merangkumi segenap aspek,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Semalam, salah seorang mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas empat hari kritikal akibat termakan keropok yang dicampur serbuk racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim, Ahad lalu.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang pekebun direman selama enam hari bermula hari ini selepas perintah reman dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad.

Sementara itu, Fisol memaklumkan, seorang lagi mangsa, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang turut kritikal akibat kejadian itu kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital sama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×