Lelaki direman kes budak mati makan keropok ada racun tikus - Utusan Malaysia

Lelaki direman kes budak mati makan keropok ada racun tikus

SUSPEK berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan kes dua beradik termakan keropok bercampur racun tikus di Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes keracunan dua beradik yang termakan keropok dicampur racun tikus direman selama enam hari, bermula hari ini.

Perintah reman ke atas suspek berusia 33 tahun yang juga seorang pekebun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad.

Siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kulim, di sini kira-kira pukul 8 pagi dengan berpakaian lokap sambil dikawal anggota polis.

Menurut sumber, lelaki berasal dari Kampung Padang Ubi, Labu Besar itu tidak mempunyai  sebarang rekod lampau.

“Lelaki itu ditahan di Lubuk Buntar, Bandar Baharu, dekat sini sekitar tengah hari semalam ,”ujarnya

Utusan Malaysia melaporkan, salah seorang mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 8.30 pagi, semalam.

Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih menerima rawatan di hospital sama selepas kedua-dua mereka kritikal akibat termakan keropok dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Ahad lalu.

Makanan ringan itu digunakan seorang pekebun yang juga jiran keluarga mangsa untuk menghalau dan memerangkap monyet yang didakwa mengganggu ketenteraman penduduk selain merosakkan tanaman. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×