Hak bekas ahli Parlimen Bersatu terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan - Johari 

Hak bekas ahli Parlimen Bersatu terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan – Johari 

TAN SRI JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mendapati arahan-arahan di bawah Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bertentangan dan menafikan hak lima bekas ahli parti itu yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Selain itu, hak kelima-lima ahli Parlimen berkenaan juga terjamin di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Perkara tersebut terkandung di dalam sesalinan surat Johari kepada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bertarikh 9 Julai 2024, yang mewajarkan alasan beliau tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga-tiga perundangan tersebut telah menjamin keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat. 

“Berkenaan surat permohonan oleh Bersatu kepada lima ahli Dewan Rakyat kembali ke kerusi pembangkang di Dewan Rakyat, saya masih mendapati mereka masih duduk di blok pembangkang. 

“Justeru,  saya mendapati dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sesalinan surat yang disemak Utusan Malaysia. 

Lima ahli Parlimen tersebut ialah  Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sementara itu, merujuk kepada sesalinan surat berasingan bertarikh sama kepada Ronald berhubung kekosongan kerusi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, kata Johari, beliau dimaklumkan yang Suhaili telah membawa tindakan terhadap Bersatu melalui pemfailan guaman di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam. 

“Tindakan guaman tersebut adalah berkenaan perkara parti Bersatu dan status keahlian ahli Parlimen Labuan dalam Bersatu. 

“Oleh kerana kes ini sedang dalam pertimbangan mahkamah, maka, saya tidak mahu merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara dalam kes mahkamah tersebut dengan keputusan saya di bawah Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan. 

“Justeru, saya mendapati dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata surat itu. 

Dalam sidang akhbar di Parlimen semalam, Bersatu memaklumkan bahawa Johari Abdul memutuskan enam bekas ahlinya kekal sebagai wakil rakyat dan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen. 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu perkara itu menerusi surat yang dinyatakan Johari bertarikh 9 Julai 2024.

Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan bahawa partinya memutuskan mengambil langkah susulan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan Johari amat mengecewakan kerana jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, mengukuhkan alasan Johari, beliau merujuk tiga dokumen iaitu Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti D.R 7 Tahun 2022 (Penyata JKPK).

Dua lagi ialah penyata rasmi bertarikh 11 April 2022 mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan penyata rasmi bertarikh 27 dan 28 Julai 2022 mengenai RUU Perlembagaan 9Pindaan) (No. 3) dan usul mengenai penyata JKPK tersebut.

Beliau mendapati, daripada dokumen-dokumen tersebut bahawa tujuan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan bagi memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa yang panjang.

“Saya juga melihat kepada prinsip keluhuran Perlembagaan. Malaysia mengamalkan prinsip ini di bawah Perlembagaan dan ia merupakan prinsip Rukun Negara yang ketiga,” katanya. UTUSAN

 

BERITA LANJUT MENYUSUL…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×