KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol jiran sekampungnya yang merupakan remaja orang kurang upaya (OKU) kerdil dalam kejadian kira-kira lima bulan lalu.
M. Pikri Mohamed, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan satu bulan semasa kejadian dengan mengetahui tentang kecacatan fizikal mangsa.
Perbuatan keji itu dilakukan di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh ,dekat sini kira-kira pukul 5 petang pada 10 Februari dan pukul 3 petang pada 11 Februari lalu.
M. Pikri didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar.
Terdahulu, Edabayu mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin. Muhammad Zulfaqar dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir di balai polis setiap bulan dan tidak menganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










