Penganggur dibelasah curi rim kereta - Utusan Malaysia

Penganggur dibelasah curi rim kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki mencuri rim kereta mengundang padah apabila dia cedera dibelasah sebelum ditahan polis dalam kejadian di sebuah bengkel di Taman Pekan Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian disedari oleh pekerja bengkel tersebut baru-baru ini apabila mendapati satu set rim bernilai RM2,000 milik pelanggannya hilang.

“Semalam, pada pukul 6.50 pagi, pekerja bengkel itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali memaklumkan mengenali pencuri terbabit.

“Dia kemudian dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit di Taman Keladi, di sini dan bertemu dengan suspek yang didapati memasang rim tersebut pada kereta Proton  Wira miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata Wan Azharuddin, suspek kemudiannya dipukul oleh lelaki yang membawa pekerja bengkel itu hingga cedera di bahagian kepala dan kaki selepas mengaku mencuri barang berkenaan sebelum beredar.

“Pekerja bengkel itu membawa suspek dan kenderaan itu pulang ke bengkelnya sebelum menghubungi polis. Suspek turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan,” katanya.

Katanya, suspek yang merupakan penganggur berusia 40 tahun mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×