KUALA KEDAH: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut dipercayai ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi di kedudukan 4.1 batu nautika barat dekat muara Kuala Kedah, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Perlis yang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 mengesan vesel dinaiki nelayan itu dalam keadaan mencurigakan.
“Bot ronda Maritim Malaysia merapat ke vesel terbabit kerana mengesyaki kru vesel berkenaan sedang melakukan aktiviti menangguk siput.
“Namun, nelayan tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju vesel ke arah perairan Kedah. Ketika ditahan seorang kru terjun ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian tersebut.
“Susulan itu, MRSC Langkawi mengkoordinasikan Operasi Carilamat melibatkan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 yang ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun.
“Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan,” katanya. -UTUSAN











