PN yakin terus jadi pilihan anak muda

PN yakin terus jadi pilihan anak muda

HAZIQ ASYRAF DUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) terus kekal menjadi pilihan anak muda sekali gus memberi gambaran bahawa masa depan politik negara kini terletak di tangan gabungan berkenaan.

Gabungan tersebut membuktikan sokongan anak muda masih kekal utuh sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Kuala Kubu Baru, Pelangai serta terbaharu di PRK Sungai Bakap yang menyaksikan PN menang 24 daripada 28 saluran anak muda di kawasan tersebut.

Ketua Pemuda Pas negeri, Ha­ziq Asyraf Dun berkata, undi anak muda masih bersama PN kerana mereka adalah gene­rasi yang berilmu, mempunyai akses kepada media sosial, berita dan memperoleh serta mencerna maklumat dengan cepat dan bijak.

SEMANGAT

Katanya, ia sekali gus memberi kelebihan kepada PN kerana golongan tersebut memilih atas dasar maklumat yang bijak bukan semata-mata atas semangat kepartian.

“Ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa masa depan politik negara terletak di tangan PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sabtu lalu, PN mempertahan kerusi DUN Su­ngai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majo­riti lebih besar iaitu 4,267 undi.

Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabar­nya dari Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

KELEBIHAN

Berdasarkan keputusan kiraan juga, PH hanya memenangi satu daripada lapan da­erah mengundi iaitu Puteri Gunong dengan meraih 3,952 undi, dengan kelebihan tipis 369 undi.

Manakala PN pula menguasai tujuh daerah mengundi dengan memenangi semua sembilan saluran mengundi di Sungai Duri dengan meraih 3,101 atau majoriti 2,056.

Malah difahamkan, jumlah pengundi Cina dan India juga merosot antara 10 hingga 13 peratus.

Tambah Haziq Asyraf, meskipun banyak bantuan dan jentera kerajaan diturunkan dalam PRK Sungai Bakap namun undi anak muda tetap berpihak kepada PN.

“Melihat kepada perkembangan itu, saya yakin sokongan anak muda akan terus berlanjutan dalam PRK Nenggiri dan PRK-PRK yang akan datang termasuk Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Kami berharap dan yakin bahawa anak-anak muda ini akan terus bersama kita, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×