PETALING JAYA: Tinggal kira-kira 48 jam sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan berhubung kedudukan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahlian mereka selepas menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Menurut penganalisis, pelbagai kemungkinan boleh menjadi pertimbangan Speaker sama ada memilih untuk berkecuali atau cenderung politik kepartian dalam memutuskan isu berkenaan.
DEMOKRASI
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P.Sivamurugan berpandangan, kedudukan sebagai seorang Speaker yang melangkaui apa-apa kepentingan dan memberi keutamaan kepada soal demokrasi dan undang-undang sedia ada, harus dilihat.
Katanya, sekiranya ada undang-undang menyatakan kerusi itu tidak perlu dikosongkan, maka perlu diberikan justifikasi terhadap tindakan yang akan diambil itu.
“Harus melihat Speaker dari parti PKR asalnya dan apakah akan mempunyai kecenderungan untuk melihat dari sudut parti atau mengambil keputusan berkecuali berdasarkan kedudukan sebagai Speaker dalam membuat keputusan.
“Berkecuali bermakna tidak memberikan keutamaan kepada politik kepartian tetapi demi menegakkan perundangan, akta yang wujud dan dari sudut undang-undang parti, maka kesemua itu akan dijadikan sebagai timbang tara membuat keputusan.
“Kalau pilih sudut parti, akan kekallah dan sebab mungkin akan mengambil keputusan berhati-hati impaknya kepada Kerajaan Perpaduan dan gabungan PKR sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan yang bakal diambil Johari dalam memutuskan isu berkaitan enam wakil rakyat Bersatu.
Bersatu mengemukakan notis kekosongan enam kerusi Parlimen itu pada 20 Jun lepas dan mengikut undang-undang, Johari mempunyai 21 hari untuk mengkaji sebelum membuat keputusan.
Enam wakil rakyat itu sebelum ini yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi kawasan masing-masing dan masih ahli Parlimen yang sah.
Mereka menegaskan, kekosongan kerusi Ahli Dewan Rakyat kawasan masing-masing tidak berlaku disebabkan mereka tidak meninggalkan Bersatu, tidak berhenti menjadi ahli kepada Bersatu, namun mereka dipecat dan nama dibuang daripada sistem keahlian parti.
Keadaan itu, kata mereka, jelas membuktikan tidak ada unsur mereka berenam meninggalkan parti atau melompat ke parti lain yang mana boleh meletakkan mereka di bawah Perkara 49 A (3) Perlembagaan Persekutuan.
RUJUKAN
Sivamurugan berkata, Speaker perlu mengambil kira bahawa sebarang keputusannya berkaitan isu terbabit akan menjadi rujukan dalam kes seumpamanya selepas ini.
“Sebarang keputusan Speaker itu akan menjadi satu ketetapan sama ada memutuskan pengosongan atau sebaliknya dengan justifikasi berdasarkan dari sudut perundangan,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, keputusan berhubung enam wakil rakyat terbabit berkemungkinan tidak diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, ini kerana trend sokongan ketika ini dilihat sukar bagi Kerajaan Perpaduan dan itu akan menjadi pertimbangan politik dalam membuat keputusan berkaitan sebarang kekosongan.
“Pada masa sama, perbahasan undang-undang menunjukkan tidak ada undang-undang boleh arah Speaker kosongkan (kerusi), jadi kalau tidak setuju, maka tidak boleh buat apa-apa.
“Kecuali semakan kehakiman ke peringkat Mahkamah Persekutuan untuk membuat tafsiran sebenar,” katanya. – UTUSAN










