KUALA LUMPUR: Sabah menjadi negeri terbaharu memberi maklum balas kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan jemputan menjadi penganjur Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Bagaimanapun, butiran maklum balas terbabit masih belum didedahkan oleh pihak MSN berikutan berminat atau tidak untuk menjadi penganjur acara dwitahunan berkenaan.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata Sabah diantara dua negeri lain iaitu Pulau Pinang dan Sarawak yang memberi reaksi berhubung menjadi penganjur pada temasya itu.
Sebelum ini, Sarawak memasang impian untuk menganjur Sukan SEA 2027 manakala Pulau Pinang menawarkan beberapa lokasi untuk beberapa jenis sukan.
“Sabah menjadi negeri terbaharu memberi respon. Dalam masa yang sama, urusetia sedang mengemas kini daripada negeri-negeri yang lain. Selepas negeri-negeri memberi maklum balas baru kami mengangkat kertas cadangan itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dibawa ke Jemaah Menteri.
“Persetujuan untuk menjadi penganjur belum tentu lagi. Kami (MSN) sekarang menyediakan segala maklumat dan perincian ini supaya dapat dipertimbangkan oleh jemaah menteri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MSN bersama syarikat air mineral, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rashid menjangkakan bahawa berkemungkinan semua negeri akan memberi maklum balas sekurang-kurangnya pada minggu ini selepas mengambil keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir..
“Sepatutnya tarikh akhir Jumaat lalu. Hal ini kerana sebahagian negeri masih belum memutuskan perkara terbabit. Jadi kami beri masa untuk mereka,” katanya. – UTUSAN










