PASIR PUTEH: Walaupun lapan tahun sudah berlaku, seorang lelaki yang menjadi mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi masih trauma dengan bunyi petir selain tidak boleh terdedah panas terik matahari.
Selain itu, mangsa, Mohamad Khanapiah Mustafa, 20, turut mengalami kecacatan kekal apabila kulitnya menjadi gelembung menyebabkan dia terpaksa memakai baju lengan panjang untuk ‘menyembunyikan’ penderitaan yang dialami.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa kepada lelaki itu, Mustafa Mat Zin, 55, berkata, musibah yang berlaku pada 22 Jun 2016 menyebabkan anaknya itu mengalami kecacatan kekal.
Menurutnya, kesan renjatan elektrik itu dapat dilhat dengan jejas terutama pada bahagian muka, lengan dan paha.
“Mohamad Khanapiah kini alah dengan cuaca panas kerana bahagian kulit yang rosak masih kembung berisi.
“Walaupun ujian itu berat untuk ditanggung, namun saya bersyukur kerana usia Mohamad Khanapiah masih panjang. Dia (Mohamad Khanapiah) kini berusia 20 tahun dan bekerja di sebuah syarikat pemasangan pendingin hawa di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beris Chalok, di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 24 Jun 2016 melaporkan kerisauan Mustafa terhadap masa depan anaknya yang melecur 70 peratus terkena renjatan selepas merentasi kabel elektrik bervoltan tinggi di tali air di belakang rumahnya.
Ketika kejadian, Khanapiah membonceng motosikal yang ditunggangi jirannya merentasi tiang elektrik yang hampir tumbang.
Mustafa memberitahu, kejadian itu menyebabkan pembelajaran anaknya terbantut lebih tiga tahun kerana terpaksa menjalani pembedahan, rawatan lanjut dan fisioterapi dalam tempoh yang lama.
Katanya, lebih memeritkan ketika itu dia kehilangan sumber pendapatan selepas terpaksa memberi tumpuan kepada pengurusan Mohamad Khanapiah di hospital dan di rumah.
“Sepanjang tempoh rawatan lanjut lebih tiga tahun pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi saguhati sebanyak RM15,000.
“Wang tersebut saya gunakan sepenuhnya untuk membeli ubat tambahan serta perbelanjaan pengurusan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.
Mustafa berkata, pembelaan untuk mendapatkan hak ke atas kecacatan Mohamad Khanapiah sudah tidak boleh dilakukan kerana tempoh kejadian sudah lapan tahun berlalu.
“Hal ini kerana, mendapatkan perkhidmatan guaman kos berjumlah RM16,000 diperlukan. Mana nak dapat duit sebanyak itu dengan kerja sebagai tukang rumah dan tiada harta untuk dijual atau dicagarkan,” katanya. – UTUSAN











