YANGON: Sejak Februari lalu, ratusan ribu penduduk Myanmar memilih untuk tidak lagi pergi ke kerja sebagai mogok dengan rampasan kuasa yang berlaku.
Mereka gelarkan langkah tersebut sebagai ‘revolusi senyap’ untuk menekan junta tentera kembalikan demokrasi di negara ini.
Kebanyakan golongan pekerja tidak lagi mahu turun ke jalanan kerana khuatir akan menjadi ‘korban terbaharu’ pasukan keselamatan Myanmar.
Seorang pekerja bank yang hanya dikenali sebagai Aye, 26, berkata, dia sudah tidak mempunyai duit, ketakutan dan tidak lagi mempunyai pilihan.
“Kita perlu melumpuhkan diktator di Myanmar. Kami tidak lagi protes di jalanan kerana kami sangat takut jika ditangkap atau ditembak. Kami akan lakukan revolusi senyap untuk menekan junta,” katanya.
Namun, Pengarah Cawangan Asia di Institut Perhubungan Antarabangsa Perancis, Francoise Nicolas menyifatkan tindakan itu sebagai berisiko melumpuhkan ekonomi Myanmar.
“Junta tidak bersedia apabila negara ini berdepan dengan kelumpuhan ekonomi dan walaupun demokrasi dapat dikembalikan, penduduk Myanmar bakal berdepan dengan kesukaran,” ujarnya.
Sebagai contoh, industri pakaian di Myanmar yang sebelum ini mempunyai kira-kira 500,000 pekerja sudah ‘mula berkubur’.
Beberapa syarikat pengeluar pakaian barat termasuk H&M dan Benetton mengumumkan penggantungan operasi di negara ini, manakala kilang pakaian China dibakar, menyaksikan ribuan pekerja tidak mendapat gaji.
Selain itu, bekalan seperti bahan binaan, peralatan perubatan dan barangan pengguna yang kebiasaannya diimport dari China mula berkurangan.
Hal ini kerana penduduk Myanmar memboikot barangan China dan mendakwa negara itu menyokong junta. – AFP











