Terpaksa berhutang bawa anak jalani kemoterapi

Terpaksa berhutang bawa anak jalani kemoterapi

ROZEMI Ngah (kanan) sentiasa meluangkan masa membantu Muhamnad Razan Afzal Abdul Razak mengulang kaji pelajaran jika kesihatannya berada dalam keadaan baik. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit kronik kecuali mengalami demam hampir dua minggu sebelum disahkan mengidap leukimia sekitar Oktober tahun lalu.

Muhammad Razan Afzal Abdul Razak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Panching Selatan di sini merupakan murid aktif dan rapat dengan rakan-rakan lain di sekolah.

Menurut ibunya, Rozemi Ngah, 51, pada mulanya anaknya itu hanya demam pada sebelah malam, manakala siang hari mampu pergi sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesihatannya tidak menentu lebih kurang dua minggu sehinggalah dia mengadu tidak berdaya mengangkat beg ke sekolah. Pada mulanya saya ingat biasa sahaja, tapi muka anak makin pucat dan lemah serta banyak kesan lebam di badannya.

“Saya segera membawanya ke klinik dalam kawasan kampung untuk pemeriksaan, tapi doktor cakap kena ambil darah. Doktor maklumkan kepada saya sel darah putih anak lebih banyak daripada sel darah merah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman mereka di Felda Panching Selatan di sini.

Bercerita lanjut, Rozemi berkata, mereka diberi pilihan oleh doktor sama ada Muhammad Razan Afzal menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat Kuala Terengganu, Terengganu atau Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, selepas berbincang, mereka memilih HSNZ kerana bukan sahaja jaraknya lebih dekat berbanding Kuala Lumpur malah menjimatkan kos.

“Muhamad Razan Afzal dilihat mempunyai semangat yang kuat melawan penyakit tersebut walaupun masih muda.

“Memanglah sesekali ketika dan selepas menjalani prosedur kemoterapi, dia akan berubah sikit, ada kalanya dia jadi marah-marah, kadang-kadang pendiam. Kami sebagai ibu bapa perlu kuatkan mental untuk melayan karenah dia dan selalu beri semangat kepadanya,” katanya.

Muhammad Razan Afzal yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik kini hanya mampu berehat di rumah selain perlu menjalani rutin kemoterapi ditetapkan HSNZ.

Dalam pada itu, Rozemi memberitahu, mereka turut berdepan kesempitan terutama dalam menampung kos perjalanan rumah ke hospital bagi tujuan rawatan kemoterapi.

“Untuk rawatan tidak ada masalah sangat sebab Muhammad Razan Afzal ada surat daripada pihak sekolah, jadi semua rawatan kemoterapi adalah percuma. Cuma untuk kos pergi balik ke sana sajalah, ada kalanya kami terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik dan saudara-mara.

“Suami hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan yang tidak menentu. Nak kata membebankan, tidak bolehlah sebab ini tanggungjawab kami sebagai ibu bapa untuk mencari jalan demi anak kami,” katanya.

Bagi yang ingin memberikan bantuan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan meng­hubungi Rozemi di talian 010-2561198. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini