TELUK INTAN: Siapa sangka tepung jagung yang biasanya digunakan untuk masakan, kuih atau memekatkan sos menjadi antara bahan asas untuk menghasilkan produk kraftangan berkualiti tinggi seperti replika makanan.
Rifasyariah Abdul Rashid, 50, yang menetap di Chenderong Balai di sini telah dua tahun menghasilkan replika makanan seperti nasi lemak, pecal, mi kari, kuetiau goreng , laici kang dan sushi seakan-akan sebenar yang pasti menggiurkan dan membangkitkan deria rasa sesiapa sahaja yang melihatnya.
Berbekalkan pendidikan sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wanita ini tiada resipi atau ilmu asas mengenai dunia seni cuma bergantung pada pengalaman dan minat.
“Tiada rahsia sebenarnya cuma memang minat mengenai bidang seni. Ikuti kursus dianjurkan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak selain memang menetap di kampung, keindahan semulajadi turut menjadi inspirasi.
“Produk kraftangan berbentuk replika makanan ini memerlukan ketelitian dan kesabaran. Sebagai contoh kita ingin menghasilkan butir-butir nasi, adunan perlu dibentuk dengan baik dan sehalus-halusnya supaya seperti yang asli. Saya ambil masa sehari sehingga seminggu untuk menghasilkannya bergantung pada jenis dan kesukaran membuatnya,” katanya di sini.
Beliau menjual set replika makanan bermula RM10 hingga RM300 dan antara bahan untuk membuat dohnya ialah tepung jagung, gam dan cuka.
Produk replika makanan penghasilan wanita, isteri kepada Sallahubakry Abu Bakar, 49, ini biasanya mendapat tempahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pemilik kafe restoran.
“Biasanya pelanggan membeli replika set makanan ini kerana lebih menjimatkan berbanding membeli atau menghasilkan set sebenar. Tidak renyah (sukar) dan harganya tidaklah mahal dan boleh digunakan untuk satu tempoh masa yang lama.
“Jika kafe pula mudahkan pelanggan memesan makanan tanpa perlu pemilik menyediakan set makanan sebenar,” katanya. –UTUSAN










