SAHOM yang terletak di Kampar, Perak sememangnya terkenal dengan aktiviti ekopelancongan berkonsepkan glamping atau perkhemahan yang berlatarbelakangkan sungai, bukit bukau dan alam semula jadi.
Antara yang turut menawarkan perkhidmatan itu sejak lebih tiga bulan lalu ialah Harmaniazira Ishak, 38.
Namun, kreativiti pengusaha tapak perkhemahan di Kampung Sungai Gapes itu memperkenalkan suluh durian berjaya menambah tarikan sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan Redup Rindu Campsite.
Katanya, idea itu tercetus bagi membangkitkan nostalgia mengutip raja buah pada waktu malam.
“Sejak mula diperkenalkan, ramai pelanggan berkongsi keseronokan dapat mengimbau memori menyuluh durian di kebun milik keluarga di kampung.
“Pada zaman dulu, aktiviti ini biasanya dilakukan penduduk untuk mengelak buah dicuri sebelum dijual kepada peraih pada keesokkannya,” katanya baru-baru ini.

Tapak perkhemahan Redup Rindu yang seluas 8 hektar itu mempunyai sebanyak 200 pokok durian jenis kampung dan dilengkapi kemudahan surau, tandas dan bilik mandi.
Kata Harmaniazira lagi, aktiviti itu terbuka untuk pelanggan yang bermalam di tapak perkhemahan sahaja dengan bayaran sebanyak RM10 sejam.
Selain itu, ia terhad semasa musim buah durian.
“Kebun durian terletak tidak jauh dari tapak perkhemahan dan aktiviti ini dilakukan selama dua jam dari pukul 9 hingga 10.30 malam setiap hari.
“Seorang dewasa sahaja dibenarkan untuk mengikutinya dengan ditemani jurupandu dan sebuah kenderaan.
Walaupun jarak kebun tidak lebih satu kilometer tetapi laluannya agak mencabar kerana yang terletak di kawasan berbukit selain cabaran nyamuk dan pacat sekiranya hujan.
“Satu beg yang memuatkan antara tiga hingga empat biji durian akan diberikan kepada pelanggan untuk dinikmati secara percuma,” katanya.
Harmaniazira menambah, sekiranya terdapat lebihan durian yang dijumpai, caj RM6 sekilogram akan dikenakan kepada pelanggan.
“Saya mahu pelanggan menikmati durian pada harga yang berpatutan kerana kebanyakannya datang dari jauh seperti Johor dan Negeri Sembilan.
“Selain dapat menikmati alam semula jadi, mereka juga boleh makan buah kegemaran rakyat Malaysia” katanya.











