TEHERAN: Presiden terpilih, Dr Masoud Pezeshkian memikul harapan berjuta-juta rakyat Iran yang mengimpikan sekatan terhadap kebebasan sosial dikurangkan dan dasar luar negara yang lebih pragmatik.
Keputusan pusingan kedua Pilihan Raya Presiden membuka lembaran baharu buat negara itu, apabila Pezeshkian dianggap pemimpin yang mungkin dialu-alukan oleh kuasa dunia, dengan harapan beliau boleh meneruskan langkah damai dalam menyelesaikan ketegangan dengan Iran berhubung program nuklearnya yang berkembang pesat.
Pezeshkian, 69, berjanji untuk menggalakkan dasar luar yang pragmatik, meredakan ketegangan dalam rundingan yang terhenti dengan kuasa besar bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 serta meningkatkan prospek liberalisasi sosial dan pluralisme politik.
Di bawah sistem dwi-pemerintahan Iran yang terdiri daripada ulama dan republik, presiden tidak boleh memulakan sebarang peralihan dasar utama mengenai program nuklear atau sokongan kepada kumpulan di Timur Tengah, memandangkan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei mengawal segala urusan penting negara.
Bagaimanapun, presiden boleh mempengaruhi nada dasar Iran dan akan terlibat rapat dalam memilih pengganti Khamenei, yang kini berusia 85 tahun.
CABARAN DI HADAPAN
Penganalisis politik di Universiti Tehran, Prof Tohid Asadi memberitahu Al Jazeera bahawa kemenangan Pezeshkian menunjukkan ramai rakyat Iran berminat kepada ‘perubahan dasar domestik dan luar negara’.
Namun, Asadi menjelaskan politik Iran adalah ‘mekanisme yang sangat dinamik dan kompleks’, di mana presiden hanya seorang aktor yang mempengaruhi keputusan.
Mengenai perjanjian nuklear, beliau berkata, ia akan berada di tangan Amerika Syarikat (AS) dan Barat dalam membina semula kepercayaan di kalangan pemerintahan politik Iran.
Sementara itu, penganalisis di Fakulti Media Fars yang berpangkalan di Tehran, Prof Mostafa Khoshcheshm tidak menjangkakan berlaku perubahan strategik dalam dasar luar negara Iran.
Beliau menjelaskan, fail dasar luar diputuskan oleh seluruh pihak, terutama Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, yang meliputi wakil-wakil kerajaan, angkatan tentera, pemimpin tertinggi Iran dan Parlimen.
Katanya, ia juga akan bergantung kepada hasil pilihan raya presiden AS pada November, sekali lagi menyaksikan pertembungan antara Presiden Joe Biden dan bekas Presiden, Donald Trump.
“Jika Donald Trump kembali ke jawatan itu, saya tidak menjangkakan sebarang perubahan, perbincangan antara kedua-dua pihak atau perubahan dalam tindakan sekarang,” kata Khoshcheshm.
SOKONGAN TERHADAP PERPADUAN
Pezeshkian setia kepada pemerintahan teokratik Iran tanpa niat untuk menentang golongan keselamatan yang berkuasa dan pemerintah ulama.
Dalam debat televisyen dan temu bual sebelum ini, beliau berjanji untuk tidak menentang dasar-dasar Khamenei.
Namun, pandangan Pezeshkian berbeza dengan Ebrahim Raisi, anak didik Khamenei yang mengetatkan penguatkuasaan undang-undang berkait pemakaian wanita dan berpendirian tegas dalam rundingan yang kini terhenti dengan kuasa besar untuk memulihkan perjanjian nuklear.
Dalam perutusan pasca pilihan raya pada Sabtu, tokoh politik berprofil rendah itu menekankan kerjasama rakyat penting untuk mengharungi laluan sukar di hadapan, termasuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi beliau terhadap perpaduan.
“Saya hulurkan tangan kepada anda dan saya bersumpah dengan kehormatan saya, saya tidak akan meninggalkan anda sendirian di jalan ini. Jangan tinggalkan kami sendirian,” katanya.
Pezeshkian menewaskan lawan konservatifnya, Saeed Jalili, bekas ketua perunding nuklear dan ketua badan keselamatan tertinggi, dengan margin 2.7 juta undi dalam keputusan yang diumumkan awal Sabtu.











