PRU16: Dewan Tertinggi BN tentukan kerjasama dengan PH

PRU16: Dewan Tertinggi BN tentukan kerjasama dengan PH

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebarang keputusan berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) ditentukan selepas ia dibawa ke peringkat Dewan Tertinggi parti itu untuk dibincangkan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai sebuah gabungan yang dianggotai empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), apa juga keputusan perlulah dicapai hasil konsensus kesemua parti tersebut.

Justeru beliau yakin untuk tujuan itu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawanya ke peringkat jawatan kuasa tertinggi BN untuk dibincangkan seterusnya mencapai keputusan terbaik.

“Sebarang keputusan yang dibuat dalam BN adalah keputusan konsensus, keputusan bersama, jadi selagi belum ada mesyuarat daripada jawatankuasa tertinggi kepemimpinan BN, banyak andaian orang boleh lakukan dan buat.

“Tetapi akhir ceritanya nanti apa yang diputuskan dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi BN itulah menjadi sebagai dasar parti BN untuk kita sama ada menghadapi pilihan raya ataupun apa dasar lain,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024, di sini semalam.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16, namum kedua-dua parti itu masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

Bagaimanapun, MCA dan MIC menegaskan parti komponen BN tidak dirujuk berhubung perkara itu dan menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid sebagai agak mengejutkan.

Mengulas sama ada perkara tersebut perlu diputuskan lebih awal oleh BN, Mohamad berpandangan adalah lebih baik ia sebegitu berbanding terus menjadi spekulasi.

“Terpulang kepada parti (komponen), jika ada parti mahu membincangkannya, bawalah ke mesyuarat, tiada isu, jadi MCA dan MIC yang kurang selesa dengan kenyataan tersebut bawa dalam mesyuarat jadi kita boleh bincang dan mendapat keputusan lebih awal sama ada ia ataupun tidak.

“Daripada kita terus berspekulasi lebih baik kita buat keputusan supaya semua pihak dan yang pentingnya ahli kita tidak terkeliru,” katanya.

Sementara itu, berkenaan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang kelmarin yang memihak kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata, punca kekalahan calon Kerajaan Perpaduan tersebut perlu dikaji.

“Kekalahan dengan majoriti yang lebih besar, banyak sebab, sebab-sebab semasa, kita semua tahu ia merupakan penyebab utama untuk pengundi membuat keputusan, apabila pilihan raya banyak dipengaruhi oleh isu-isu yang dimainkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×