Dua lelaki diupah RM5,000 jadi penganjur judi bola sepak Euro 2024 - Utusan Malaysia

Dua lelaki diupah RM5,000 jadi penganjur judi bola sepak Euro 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis menahan dua lelaki di dua unit kondominium di Jalan Genting Klang dan Taman Wahyu semalam selepas disyaki melakukan pertaruhan judi bola sepak Euro 2024.

Penahanan kedua-dua mereka dilakukan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman pukul 9 pagi hasil maklumat dan risikan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan disyaki berperanan sebagai penganjur dengan menerima bayaran gaji sehingga RM5,000.

Kata beliau, risikan telah dijalankan ke atas laman web yang disyaki menjalankan kegiatan catit taruh perjudian secara dalam talian berkait bola sepak Euro 2024.

“Siasatan mendapati gaji yang diterima sebulan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dan kegiatan yang mengaut untung sehingga RM12,000 seharian.

“Dipercayai kegiatan ini beroperasi 24 jam dan mempunyai syif bagi melakukan urusan pertaruhan di kondominium,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian suspek.

Katanya, kedua-dua tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan IPD Sentul untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihat tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sedemikian untuk melaporkan kepada pihak polis,”jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×