KUALA LUPUR: Bukan mahu menidakkan kemampuan pengarah tempatan, Penerbit, Punnagai Poo Gheetha mempunyai alasan tersendiri atas tindakannya memilih sutradara Indonesia, Reka Wijaya sebagai pengarah filem terbaharu terbitannya, Siapa Buka Lampu?
Penerbit yang mesra disapa sebagai Gheetha itu memaklumkan dia bercadang untuk memasarkan filem tersebut ke negara serantau justeru pemilihan pengarah dari negara sebarang dianggapnya mampu mencapai matlamat berkenaan.
“Saya mahukan sebuah filem yang mudah diterima penonton tanpa mengabaikan hasrat untuk menggabungkan elemen tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Thailand.
“Selain diarahkan pengarah dari negara seberang, kru dan pelakon yang ditampilkan dalam filem ini juga merupakan gabungan tiga negara.
“Pemilihan Reka Wijaya untuk filem ini adalah tepat. Dengan itu, audiens akan dapat menonton elemen Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam sebuah karya,” katanya.
Mengulas lanjut, Gheetha mengakui berdepan jalan sukar untuk memegang dua peranan, iaitu selaku penerbit dan juga pelakon secara serentak dalam filem tersebut.
“Tekanan yang dihadapi sebagai seorang penerbit cukup tinggi, begitu juga dengan pelakon.
“ Saya perlu memastikan tekanan tidak terlihat pada wajah sewaktu penggambaran berlangsung,” katanya.
Sementara itu, pelawak, Ammar Titan yang turut membintangi filem bergenre komedi seram memaklumkan selesa bekerja sama dengan barisan pelakon filem berkenaan yang kebanyakannya juga pelakon komedi.
Sambung Ammar, cabaran terbesar yang dihadapi ketika penggambaran adalah masalah komunikasi kerana pengarah dan kru berasal dari Indonesia.
“Filem ini bergenre seram komedi dan cara orang Malaysia berlawak dengan Indonesia agak berbeza. Kelakar bagi kami, tidak bagi pengarah (ketawa).
“Jadi, kami harus mencari titik temu agar semua pihak berpuas hati menerusi perbincangan dan juga latihan. Bekerja dengan pengarah Indonesia, bagi saya sangat berbeza kerana pemikirannya tidak sama dengan pengarah di Malaysia.
“Satu pengalaman yang bagus untuk saya dan diharap penonton akan memberikan sokongan kerana filem ini sangat kelakar dan mampu menghilangkan tekanan anda,” kata Ammar lagi.
Selain Gheetha dan Ammar Titan, filem Siapa Buka Lampu? yang telah mula ditayangkan di pawagam pada 4 Julai lalu turut dibintangi oleh Qasrina Karim, Azhar Jalil, Angie Ang, Gesya Shandy, Issey Fazlisham, Bell Ngasri, Tia Tavee, Mamak Puteh dan Geoff Feyaerts.











