Puan R mendapati kaki kanannya semakin bengkak dalam masa tiga hari ini. Dia baru saja pulang daripada menghadiri majlis konvokesyen anaknya di London minggu lalu.
Dia teringat yang adiknya mengalami trombosis vena dalam (DVT) semasa mengandung anak kedua. “Adakah saya menghidapi trombosis vena dalam juga?” Tanya Puan R ketika berjumpa doktor.
Bangun dan bergerak jika anda duduk lama di dalam kapal terbang, kereta api atau kereta bagi mengelakkan risiko tromboembolisme vena (VTE) iaitu berlaku pembekuan darah dalam saluran darah vena.
Sebaik sahaja pembekuan darah terbentuk, trombus vena dalam boleh melambatkan atau menyekat pengaliran darah, malah berkemungkinan terlepas ke bahagian badan lain melalui saluran darah. Gumpalan darah yang bergerak ke sistem peredaran darah dipanggil embolisme.
Ketua Unit Hematologi, Pakar Perunding Hematologi Klinikal dan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. NorRafeah Tumian berkata, Trombosis arteri pula boleh menjadi punca serangan jantung dan strok.

“Sebaiknya berdiri, berjalan-jalan dan regangkan kaki setiap dua hingga tiga jam selepas duduk lama dalam kenderaan. Minum air dan jus buah-buahan secukupnya semasa penerbangan yang lama.
“Elakkan minum alkohol, teh dan kopi semasa penerbangan kerana minuman ini menyebabkan dehidrasi. Kekalkan berat badan yang sihat. Jangan merokok atau ambil langkah berhenti merokok,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dr. Nor Rafeah berkata, serangan jantung atau strok yang berkaitan dengan tromboemboli, dan tromboembolisme vena (VTE) adalah tiga penyakit utama berkaitan kardiovaskular yang boleh membawa maut.
Trombosis vena dalam (DVT) adalah manifestasi kerap VTE di mana terdapat darah beku menghalang pengaliran darah di vena di bawah kaki dan boleh bergerak ke bahagian atas (proksimal) anggota badan.
Gejala darah beku
Dr. Nor Rafeah berkata, dalam kebanyakan kes DVT, darah beku adalah kecil dan tidak menyebabkan gejala.
“Darah beku yang besar boleh menyebabkan tanda-tanda seperti bengkak di kaki, terutamanya di betis atau lengan, rasa sakit atau lenguh, kulit kemerahan dan panas apabila disentuh. Pada kebiasaannya hanya sebelah kaki sahaja yang terlibat.
“Sesak nafas, sakit dada yang menyucuk lebih ketara sewaktu menarik nafas dalam, batuk berdarah, pengsan dan kadar pernafasan yang laju adalah di antara gejala dalam kebanyakan kes embolisme pulmonari (PE),” terangnya.
Katanya, PE adalah penyumbatan saluran darah di dalam paru-paru yang disebabkan pembekuan darah dari vena di kaki dan pelvis dan berlaku embolisme ke salur darah paru-paru. Embolisme pulmonari yang besar membabitkan saluran arteri utama paru-paru berisiko lebih tinggi menyebabkan pesakit maut.
Golongan berisiko
VTE boleh berlaku pada semua peringkat umur. Faktornya seperti obesiti, pesakit yang terlantar disebabkan penyakit serius dan kritikal seperti jangkitan Covid-19 atau menjalani pembedahan besar dan pesakit kanser.
“Mereka yang mempunyai sejarah darah beku termasuk dalam kalangan ahli keluarga juga berisiko. Wanita yang mengambil rawatan gantian hormon atau kontraseptif mengandungi estrogen atau dalam tempoh post-partum (selama enam minggu selepas bersalin) turut berisiko.
“Bagi mengenal pasti sama ada pesakit berisiko, doktor akan menjalankan penilaian risiko VTE, iaitu mengumpulkan maklumat umur pesakit, sejarah perubatan, ubat-ubatan dan faktor gaya hidup tertentu semasa pesakit berada di hospital,” katanya.
Secara teori, Triad Virchow mengandaikan kehadiran tiga faktor utama yang menyumbang kepada VTE iaitu:
Perubahan dalam komponen yang terbabit dalam pembekuan darah menyebabkan darah lebih melekit.
Pengaliran darah di dalam saluran vena yang kurang lancar.
Kecederaan pada dinding saluran vena atau kerosakan lapisan endotelium.
Kekerapan kes VTE:
Insiden sebenar VTE di seluruh dunia tidak diketahui. Setakat ini, tidak terdapat kajian epidemiologi yang meluas bagi mengetahui kadar kekerapan VTE di Malaysia.
Dianggarkan 1 dalam 4 orang di seluruh dunia meninggal dunia akibat keadaan yang disebabkan oleh trombosis.
Tromboembolisme vena (VTE) adalah penyebab kematian ketiga paling kerap di seluruh dunia.
Insiden VTE berbeza-beza mengikut negara, antara 1–2 setiap 1000 orang-tahun (person-years) di negara-negara Barat.
Kes lebih rendah di negara-negara Timur dengan anggaran kurang dari 1 setiap 1000 orang-tahun (person-years).
Cara mengesan:
A. Ultrabunyi dupleks.
Kaedah gabungan dua proses ultrabunyi termasuk melihat sama ada vena yang terlibat boleh dimampatkan (‘compressible’) dan mengesan keabnormalan aliran darah melalui ultrabunyi Doppler
B. Venogram (venografi) atau pengimejan resonans magnetik (MRI).
Digunakan jika keputusan ultrabunyi negatif, namun simptom pesakit teruk atau DVT sangat disyaki.
C. Imbasan tomografi angiografi pulmonari (CTPA)
Digunakan untuk mengesan embolisme pulmonari dalam arteri dalam paru-paru anda.
D. Imbasan V/Q
Boleh dilakukan bagi ibu hamil bagi mengelakkan pendedahan radiasi atau kontras daripada imbasan CT
E. Angiogram pulmonari
Memberikan gambaran lebih jelas aliran darah dalam arteri paru-paru. Ia biasanya dilakukan apabila ujian lain gagal memberikan diagnosis yang tepat kerana prosesnya lebih rumit.
Rawatan VTE
Pencegahan dan rawatan pembekuan darah terutamanya membabitkan penggunaan ubat antikoagulan atau dengan kata lain, ubat pencair darah.
“Walaupun ubat-ubatan ini sebenarnya tidak ‘menipiskan’ darah, ia melambatkan keupayaan badan untuk membentuk darah beku yang baru dan mengelakkan bekuan sedia ada daripada menjadi lebih besar.
“Ubat antikoagulan sering dimulakan di hospital, terutamanya dalam tempoh lima hingga 10 hari pertama selepas diagnosis, di mana fasa ini dianggap sebagai fasa paling serius atau akut bagi keadaan VTE,” katanya.
Katanya lagi, pesakit diberikan rawatan ‘low molecular weight heparin’ atau ‘unfractionated heparin’ secara suntikan. Selepas tempoh ini, rawatan ubat antikoagulan berbentuk tablet akan diteruskan di rumah.
Bagi kebanyakan pesakit, rawatan dengan tablet antikoagulan akan diteruskan selama beberapa minggu, bulan atau tahun selepas dimasukkan ke hospital untuk mengelakkan VTE berulang.
“Penjagaan susulan dengan ubat antikoagulan adalah penting dalam rawatan. Pesakit perlu memastikan mengambil ubat seperti ditetapkan, pergi ke semua temujanji dan berkomunikasi dengan doktor.
“Pesakit juga perlu memberitahu doktor jika mengalami gejala-gejala baru berkaitan VTE atau apa-apa gejala yang disebabkan kesan sampingan ubat antikoagulan,” katanya. –UTUSAN










