RM2.3 juta steroid anabolik tidak berdaftar dirampas

RM2.3 juta steroid anabolik tidak berdaftar dirampas

SEBAHAGIAN steroid anabolik yang dirampas JKNJ dalam beberapa serbuan di sekitar Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas steroid anabolik tidak berdaftar bernilai RM2.3 juta dalam serbuan Ops Gym di tiga premis sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mokhtar Pungut Ahmad berkata, Ops Gym yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNJ itu turut dilakukan di sebuah stor, sebuah rumah dan tiga pusat gimnasium.

Katanya, operasi itu dijalankan ekoran aduan berkaitan wujudnya rangkaian pengendalian gimnasium sebagai pembekal ubat steroid anabolik tidak berdaftar.

“Steroid dikategorikan sebagai ubat terkawal dan kerap disalah guna untuk tujuan membina otot badan.

“Sebanyak 229 steroid anabolik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan sebuah telefon bimbit dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,305,565,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes tersebut disiasat bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukan hukuman didenda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Bagi kesalahan berikutnya, Dr. Mohtar berkata, ia boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dr. Mohtar memberitahu, penggunaan ubat steroid memerlukan preskripsi doktor bagi tujuan rawatan kerana penyalahgunaannya boleh merosakkan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon serta terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“JKNJ sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis dan individu menjual produk-produk kesihatan bagi memastikan hanya produk yang berdaftar dijual secara sah dalam pasaran.

“Pihak KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan hanya membeli produk kesihatan dan kosmetik yang sah,” ujarnya.

Katanya, orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik (NOT) di https:/quest3plus bpfk.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau carian di Aplikasi NPRA Product Status. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×