ISU keberadaan Allah Taala adalah satu contoh kepada isu kefahaman terhadap beberapa ayat al-Quran dan hadith yang seolah-olah menggambarkan Allah mempunyai sifat seumpama makhluk seperti bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, ketawa, mempunyai tubuh badan seperti mata, berada di atas arasy dan pelbagai lagi.
Bila isu ini diketengahkan kepada masyarakat, ada pihak yang membahaskan pendirian golongan awal (Salaf) dan golongan yang terkemudian (Kholaf) yang mempunyai perbezaan daripada sudut pemahaman ayat dan hadith terbabit.
Yang lebih menggila adalah wujud seruan bahawa golongan yang tidak berpegang dengan zahir ayat dan hadith tersebut, golongan berpenyakit.
PENGERTIAN TAKWIL DAN TAFWIDH
Takwil bererti tidak berpegang kepada makna yang terus difahami daripada sesuatu teks manakala Tafwidh bererti menyerahkan makna sesuatu teks kepada tuan punya ucapan tersebut.
Contoh apabila saya berkata: Saya melihat seekor singa menyampaikan khutbah pada hari Jumaat. Pendengar dikelompokkan kepada tiga golongan:
Pertama: Memahami bahawa memang ada seekor singa berkhutbah sedangkan secara kebiasaannya singa tidak berbicara apatah lagi berkhutbah.
Kedua: Tidak menerima bahawa singa berkhutbah, sebaliknya mereka memahami bahawa ada makna lain yang saya ingin sampaikan. Namun golongan ini menyatakan yang dia tidak tahu apa sebenarnya maksud singa yang saya inginkan.
Ketiga: Sama sikapnya dengan golongan kedua daripada sudut kedua-dua mereka tidak menerima bahawa singa yang saya maksudkan adalah binatang ganas berkhutbah. Namunmgolongan ketiga menjelaskan bahawa berkemungkinan saya ingin menyatakan bahawa ada seorang yang gagah berani bak singa, berkhutbah pada hari Jumaat.
Sebenarnya ketiga-tiga golongan ini mengakui bahawa saya telah mengungkapkan ayat yang berbunyi:
Saya melihat seekor singa menyampaikan khutbah pada hari Jumaat. Namun golongan pertama memahami ayatini secara makna zahir bagi kalimah singa iaitu seekor binatang yang ganas manakala golongan yang kedua dan ketiga pula tidak memahami ayat ini secara makna zahir bagi kalimah singa.
Cumanya golongan kedua menyatakan bahawa dia tidak mengetahui apakah makna singa yang saya inginkan, sedangkan
golongan ketiga berpandangan berkemungkinan singa yang saya maksudkan adalah seorang yang gagah yang diumpamakan seperti singa.
SEMUA ULAMA AHLUS SUNNAH MENTAKWIL AYAT MUTASYABIHAT
Pihak yang mendakwa bahawa mereka adalah Salafiyy (pengikut golongan Salaf) mempercayai bahawa aqidah yang benar dalam memahami ayat dan hadith mutasyabihat (teks al-Quran dan Hadith yang seakan-akan menyamakan Allah seperti makhluk) adalah aqidah yang diimani oleh golongan salaf yang tidak mentakwil sama sekali ayat-ayat berkenaan.
Mereka mendakwa bahawa pegangan ulama Kholaf (ulama yang hidup selepas 300 tahun hijriah) yang mentakwil ayat-ayat tersebut adalah bercanggah dengan aqidah sebenar.
Maka apabila Allah berfirman di dalam Surah al-A’rof ayat yang ke-54 bermaksud: Sesungguhnya tuhan kalian adalah Allah yang telah menciptakan langit-langit dan bumi dalam [masa] enam hari. Kemudian Dia bersemayam di atas Arash, golongan Salafiyy ini akan mendakwa kita wajib beriman bahawa Allah duduk di atas Arash. Namun bagaimanakah cara Allah Taala duduk di atas Arash, maka kita tidak mengetahuinya. Mereka seterusnya menegaskan bahawa inilah aqidah yang diimani golongan Salaf yang hidup dalam era 300 hijrah yang pertama.
Sebenarnya apa yang didakwa oleh golongan Salafiyy ini adalah tidak benar sama sekali kerana ulama Ahlus Sunnah sama ada golongan Salaf mahupun Kholaf akan mentakwilkan ayat-ayat Mutasyabihat dengan menafikan makna yang zahir di dalam ayat tersebut.
Mereka bersepakat bahawa mustahil Allah mempunyai lokasi tertentu.
Namun kebanyakan ulama Salaf akan mengambil sikap tidak mahu menentukan makna sebenar ayat tersebut sebaliknya menyerahkan maknanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
Sikap ini dinamakan alTafwidh (Penyerahan Makna Kepada Yang Berbicara) atau juga dikenali dengan al-Takwil al-Ijmaliyy (Takwil Secara Ringkas). Adapun kebanyakan ulama Kholaf, mereka mengambil sikap mengkaji erti bagi kalimah Istawa contohnya yang biasanya diterjemahkan kepada bersemayam atau duduk.
Lalu mereka mendapati bahawa antara makna bagi Istawa adalah ‘menguasai’. Maka mereka menyatakan bahawa maksud ayat di atas adalah “… Kemudian Allah telah menguasai Arash”. Sikap ini dikenali dengan al-Takwil al-Tafsiliyy (Takwil Yang Terperinci).
Maka perumpamaan antara golongan Salafiyy, golongan Salaf dengan Kholaf berdasarkan contoh Saya melihat seekor singa
menyampaikan khutbah pada hari Jumaat adalah golongan Salafiyy memahami bahawa ‘singa’ dimaksudkan adalah binatang buas manakala golongan Salaf dan Kholaf pula tidak bersetuju dengan golongan Salafiyy.
Namun golongan Salaf tidak mahu menentukan erti sebenar ‘singa’ manakala golongan Kholaf menyatakan bahawa singa dimaksudkan adalah seorang yang gagah berani.
Inilah yang gagal difahami oleh golongan Salafiyy apabila mereka membaca teks ulama Salaf dalam menjelaskan ayatayat mutasyabihat sehingga mereka menyangka bahawa ulama Salaf mengakui bahawa Allah mempunyai anggota tangan, anggota kaki, anggota muka, mempunyai roh dan mempunyai lokasi tertentu.
Sedangkan semua makna yang zahir daripada ayat Mustasyabihat, dinafikan oleh ulama Salaf mahupun Kholaf kerana makna-makna tersebut adalah mustahil pada zat dan sifat Allah Taala yang sama sekali tidak mempunyai persamaan dengan makhluk.
KENYATAAN PARA ULAMA MENJELASKAN PENDIRIAN ULAMA SALAF
Para ulama Islam sewaktu menghuraikan ayat-ayat dan hadith-hadith Mutasyabihat, menjelaskan seluruh Ahlus Sunnah menolak makna yang zahir pada ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut.
Al-Imam al-Nawawiyy yang wafat pada tahun 676 hijriah contohnya di dalam huraian beliau terhadap Sohih alImam Muslim telah berkata:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada dua pandangan bagi ahli ilmu pada [membahaskan erti] hadithhadith sifat dan ayat-ayat
sifat.
Pertama dan ia adalah mazhab kebanyakan Salaf atau seluruh Salaf: Sesungguhnya maknanya tidak dibahaskan. Bahkan mereka berkata: Wajib ke atas kita untuk beriman dengan ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut dan kita meyakini bahawa ia mempunyai makna yang layak dengan keagungan Allah Taala kebesaran-Nya beserta dengan keyakinan kita yang tidak berbelah bahagi bahawa sesungguhnya Allah tidak ada sesuatu apapun yang seumpama denganNya dan sesungguhnya Dia adalah suci daripada berjasad, berpindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain], berlokasi di satu arah [tertentu] dan daripada segala sifat-sifat makhluk.
Pandangan ini adalah mazhab satu kumpulan daripada ulama aqidah dan ia dipilih oleh satu kumpulan daripada orang-orang pakar daripada kalangan mereka.
Pandangan ini adalah yang lebih selamat. Pandangan kedua dan ia adalah mazhab kebanyakan ulama aqidah: Sesungguhnya ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut ditakwilkan kepada makna yang layak bagi ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut berdasarkan kondisikondisinya.
Penakwilan ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut hanyalah layak dilakukan oleh orang yang ahli dalam takwil iaitu orang yang berpengetahuan dalam bahasa Arab, kaedah-kaedah usul dan furuk dan orang yang berkecimpung di dalam ilmu.
Maka kenyataan al-Imam al-Nawawiyy ini sekaligus menolak dakwaan golongan Salafiyy yang menisbahkanpendirian mereka yang salah di dalam memahami ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat kepada golongan Salaf.










