ISKANDAR PUTERI: Pelancong kini mempunyai destinasi pilihan baharu untuk dilawati, iaitu Galeri Aura Islam di Anjung Neighbourhood Centre, di sini.
Destinasi itu semakin popular termasuk menerima kunjungan daripada 25 peserta dari 12 negara yang menyertai Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) anjuran Islamic Tourism Centre (ITC), baru-baru ini.
Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn. Bhd., (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan berkata, kunjungan delegasi itu bukan sahaja boleh menyelami sejarah Islam tatkala berkunjung ke galeri itu yang wujud lebih empat tahun lalu, malah menjadi medan ilmu bagi orang ramai terutamanya pelajar melihat dengan lebih dekat ratusan artifak sebenar zaman Rasulullah.
“Pihak galeri giat mengadakan promosi bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara ke Galeri Aura Islam di Anjung Iskandar Puteri. Pelbagai ilmu dan informasi boleh diperoleh ketika mengunjungi galeri ini, terlalu banyak manfaatnya kepada orang ramai dan para pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berharap program MTCP itu dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan negara-negara yang terlibat dan seluruh dunia.
“Kami juga berharap delegasi yang pulang membawa kenangan manis dapat berkongsi bersama keluarga dan rakan-rakan mereka yang tidak pernah tahu atau mengenali Malaysia bahawa negara ini mempunyai banyak sejarah dan warisan Islam dengan latar belakang pelbagai kaum yang unik,” katanya.
ITC yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertekad terus memperkasa dan membangunkan modal insan dalam segmen pelancongan Islam menerusi keusahawanan dan kepimpinan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid memberitahu, kerajaan negeri akan menjadikan Galeri Aura Islam sebagai lokasi pelancongan Islam.
“Insya-Allah saya akan usulkan perkara ini kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya galeri ini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan Islam,” katanya. – UTUSAN










