MELAKA: Seorang pengarah syarikat barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melupuskan barang curi iaitu kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM100,000, Mei lalu.
Tertuduh, M.B Vikneswary, 38, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melupuskan harta wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000 yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Mei 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.
Peguam Gaithri Thomas merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak dan ibu yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN










