KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, masih terlalu awal untuk menganggarkan peratusan kenaikan kos dalam industri binaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembelian diesel bagi industri pembinaan selama ini adalah secara komersial dan bukan secara runcit yang tertakluk pemberian subsidi sebelum harga bahan api itu diapungkan.
“Jadi ada kemungkinan industri pembinaan terkena tempias akibat pengapungan harga minyak ini. Namun, masih terlerlalu awal untuk menganggarkan peratusan kenaikan kos dalam industri binaan.
“Kerajaan sedang mengkaji isu ini sebelum memperkenal sebarang dasar baharu. Perhatian yang lebih teliti perlu dibuat berdasarkan pelbagai sudut.
“Antaranya indeks kos bahan yang antaranya indeks kos bahan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan merekodkan sebarang peningkatan dan penurunan kos binaan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu kontraktor ekoran kenaikan harga jentera dan bahan disebabkan kenaikan harga barang, khasnya bagi kontraktor yang sudah diberikan tawaran kerja sebelum kenaikan harga diesel. – UTUSAN










