Lelaki bunuh ibu bapa angkat, dijatuhi hukuman gantung - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh ibu bapa angkat, dijatuhi hukuman gantung

TERTUDUH, Tan Kian Ngip ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang broker saham selepas dia didapati bersalah membunuh ibu dan bapa angkatnya dalam kejadian di Taman Desa Melati, Nilai di sini pada tahun 2019.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan tersebut terhadap tertuduh, Tan Kian Ngip, 45, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Rohani dalam penghakimannya berkata, secara keseluruhannya, pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan direka untuk dilepaskan daripada pertuduhan. 

“Betul kamu tidak mahu buat apa-apa rayuan? Tidak rasa nak merayu walaupun hukuman ada pilihan gantung sampai mati ataupun penjara seumur hidup?

“Jadi memandangkan tertuduh tidak ingin mengemukakan apa-apa rayuan atas pertuduhan, saya dengan ini memutuskan bahawa tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Barang kes fizikal diserahkan kepada pihak pendakwaan sehingga proses rayuan diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom menyatakan kepada mahkamah, tindakan kejam Kian Ngip menyebabkan ibu dan bapa angkatnya itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian organ penting. 

Katanya, terdapat 31 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman terhadap kedua-dua si mati dengan masing-masing mengalami 13 kecederaan dengan tujuh tikaman dan 18 kecederaan termasuk 11 kesan tikaman, yang menembusi bahagian organ jantung, buah pinggang, hati, usus kecil, usus besar dan paru-paru. 

“Melihat kecederaan kedua-dua si mati pihak pendakwaan berhujah ia merupakan suatu perbuatan yang tiada belas kasihan. Tertuduh seorang yang waras sanggup berbuat sedemikian rupa kepada orang tuanya,” katanya. 

Peguam tertuduh, S. Dynasri bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang hujah pembelaan walaupun mahkamah memberi peluang berbuat demikian berdasarkan pindaan hukuman mati yang memberi ruang budi bicara mahkamah untuk mempunyai pilihan hukuman lain.

Mengikut pertuduhan, Kian Ngip ketika itu berusia 40 tahun didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan pisau. 

Perbuatan itu dilakukan di Taman Desa Melati, Nilai, antara pukul 4 petang hingga 7.45 malam pada 24 Julai 2019.

 Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Peguam, Wong Wei Fan dan Syed Ismit Putra Syed Mohd Fuad yang merupakan peguam pemerhati mewakili keluarga mangsa turut hadir mendengar prosiding jatuh hukum terbabit. 

Sepanjang tempoh prosiding, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 40 saksi manakala empat saksi lagi di pihak pembelaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×