PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan melihat ketidakteraturan dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan, berlaku levi tertunggak yang belum dikutip berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember 2023 dan 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan.
Selain itu, audit mendapati proses pembayaran deposit bagi pembelian hartanah Menara Ikhlas berjumlah RM120 juta tidak teratur kerana tidak selaras dengan klausa perjanjian walaupun deposit dikembalikan.
“Kelulusan pembaharuan pelaburan ekuiti tidak teratur melibatkan kerugian tidak nyata berjumlah RM18.52 juta.
“Sebanyak 3,726 peserta telah mengikuti latihan Skim Gerak Insan Gemilang (GIG) di bawah Program PENJANA melebihi sekali hingga ada yang hadir 16 kali latihan di bawah skim yang sama melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta.
“Selain itu, 234 permohonan bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023 meragukan kerana mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang sama berulang kali,” kata laporan itu.
LKAN justeru itu mengemukakan beberapa syor antaranya memastikan sasaran, pencapaian dan pindaan kepada KPI diluluskan Lembaga Pengarah selaras dengan Limits of Authority dan prinsip tatakelola yang baik.
Selain itu, memastikan peraturan dan garis panduan berkaitan levi dan geran kerajaan dipatuhi, kelulusan pelaburan mengikut Limits of Authority dan terma perjanjian dipatuhi.
“Pihak Pengurusan melaksanakan tanggungjawab seiring dengan prinsip duty of care dan tata kelola yang baik dalam pengurusan syarikat.
“Mengkaji semula keperluan pindaan terhadap perlembagaan syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat agar selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001.
“Sekiranya PSMB ingin mengekalkan peruntukan sebagaimana perlembagaan syarikat yang telah dibuat, maka pindaan Akta PSMB 2001 sewajarnya dilaksanakan agar tidak berlaku sebarang percanggahan antara perlembagaan syarikat dengan akta yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN










