KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan status terkini Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi di dalam Dewan Rakyat.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dalam sesi pertanyaan jawab lisan hari ini.
“Saya pohon minta petua, saya nak tahu kedudukan Tanjong Karang, adakah di pihak kerajaan atau pembangkang?,” soalnya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menyifatkan tiada peraturan mesyuarat yang disebut, maka meminta Che Mohamad untuk duduk dan tidak membazirkan masa.
Che Mohamad kemudian menjelaskan, beliau tidak membazir masa, sebaliknya meminta penjelasan daripada Dewan Rakyat.
“Ini kerajaan, puan kena adil, saya tidak bazirkan masa,” katanya.
Susulan itu, Alice Lau meminta Ahli Parlimen Besut itu mendapatkan penjelasan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Nanti minta penjelasan daripada Tan Sri Speaker. Kalau tidak puas hati keluar,” katanya ringkas.
Semalam, enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi kawasan masing-masing dan masih ahli Parlimen yang sah.
Pendirian itu ditegaskan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang mewakili kumpulan mereka dalam sidang akhbar di Parlimen.
Selain Zulkafperi, lima lagi ahli parlimen ialah Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN










