Projek kerajaan diaudit bernilai RM41.97 bilion

Projek kerajaan diaudit bernilai RM41.97 bilion

WAN SURAYA WAN MOHD. RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentang pada sidang Dewan Rakyat hari ini antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pengauditan itu mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksana dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Menurut beliau, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja.

“Kelemahan ini menyebabkan program atau aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam lampiran yang disertakan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat projek RoL tidak akan berjaya disiapkan tahun ini kerana sehingga Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.

Lampiran itu juga menyebut semua objektif RoL belum dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta, malah kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2 kilometer Sungai Gombak.

Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, lampiran itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.

“Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.

“Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan. Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan di bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1,” menurut lampiran itu.

Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, lampiran itu memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.

“Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” menurut lampiran tersebut.

Sementara itu, Wan Suraya berkata, LKAN 2/2024 yang  dibentang di Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan merupakan pembentangan LKAN kedua tahun ini selepas 6 Mac lalu.

Menurutnya, selain laporan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun Persekutuan itu, LKAN 2/2024 juga meliputi laporan berhubung pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebanyak 64 syor audit dikemuka untuk dilaksana kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

Katanya, pengauditan dijalankan JAN secara dasarnya memberikan impak positif menerusi tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang dilaksana oleh kerajaan sebaik sahaja teguran Audit diterima.

“Susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara, didapati kerajaan telah mendapat bayaran balik, antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) yang dianggar berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024,” katanya.

Selain itu, Wan Suraya berkata, JAN akan melaksana Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) mulai Julai 2025 dengan teknik, metodologi dan pendekatan pengauditan inklusif serta mampan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam pengauditan digital.

Katanya, antara inisiatif PPJ ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti penggunaan dron dan semakan secara pengauditan jarak jauh dan menggunakan peralatan analisis data termaju dalam mengenal pasti risiko, kelemahan kawalan dalaman atau tanda bahaya  berhubung data atau maklumat yang diperolehi.

“Melalui PPJ juga, semua maklumat berkaitan pengauditan, sumber manusia dan LKAN akan diintegrasikan untuk menghasilkan output tepat dan pantas,” katanya.

LKAN 2/2024 dimuat naik di laman sesawang JAN bermula pukul 10 pagi tadi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×