SHAH ALAM: Seramai 86 Orang Asli Kampung Chenan Cherah di Cameron Highland, Pahang pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti pembelajaran Bahasa Inggeris walaupun sebahagiannya mengakui tidak pernah menerima pendidikan secara formal.
Menurut Tok Batinnya, Bah Zairum, 54, peluang tersebut sukar diperolehi dan beliau sendiri bersama penduduk sanggup menyahut cabaran sebagai inisiatif untuk mereka mempromosikan kampung kepada pelancong asing.
Beliau berkata, Walaupun kampung ini terpisah jauh di dalam hutan tanpa akses Internet dan kemudahan asas lain, ia tidak mematahkan semangatnya mengetuai modul ini sekaligus meyakinkan penduduk untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa, budaya dan ekosistem sedia ada bagi tujuan memperkasa ekonomi.
“Saya tidak pernah bersekolah dari kecil, jadi sesi belajar Bahasa Inggeris ini adalah peluang terbaik untuk saya dan orang kampung merasai keseronokan belajar di sekolah.
“Saya perlu tunjuk contoh, agar kami dapat menjana pendapatan apabila pelancong asing datang menginap di sini,” katanya.
Kelas selama tiga hari pada hujung minggu lalu adalah anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highland yang merupakan sebahagian daripada program Basmi Miskin Tegar (BMT) di bawah Kementerian Ekonomi.
Ia mendapat kerjasama daripada Pensyarah Kanan dan Pakar Instruksional, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Anuar Ali yang bertanggungjawab mereka modul khas berkaitan literasi Bahasa Inggeris untuk Orang Asli
Dalam pada itu, Pegawai Lapangan Program BMT, Muhammad Fazlie Nordin memberitahu, inisiatif itu bukan sekadar satu bentuk literasi tetapi juga bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan Orang Asli.
“Kandungan pembelajaran ini berfokus kepada modul Bahasa Inggeris bagi meningkatkan perkhidmatan inap desa, malim gunung, dan hasil kraf tangan Orang Asli kerana Cameron Highlands sememangnya tumpuan pelancong asing,” ujarnya. – UTUSAN










