‘Gelagat kambing, lembu hiburkan saya’

‘Gelagat kambing, lembu hiburkan saya’

WAN Rania Amanda Wan Mohd. Faizal bersama kambing ternakan bapanya di Kampung Baruh Tok Jiring, Kuala Nerus, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang kanak-kanak perempuan gemar menghabiskan masa terluang pada waktu petang ‘bermanja’ dengan kambing dan lembu ternakan bapanya berbanding bermain gajet seperti kanak-kanak lain.

Wan Rania Amanda Wan Mohd. Faizal, 11, berkata, ‘ge­lagat’ kambing dan lembu di kandang ternakan bapanya itu sa­ngat comel dan menghiburkanya selepas penat mengikuti sesi pembelajaran di waktu pagi.

Katanya, sepanjang cuti sekolah juga, dia menghabiskan waktu lapang untuk bermain dengan kambing betina kesa­yangannya seperti ‘Rocky’ dan ‘Bobby’ serta lembu iaitu ‘Jate’ dan ‘Flora’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa cukup seronok dan tenang dapat membelai haiwan-haiwan ternakan ini dan boleh merasai ‘perasaan’ seperti sedih dan gembira yang dialami.

“Saya banyak dapat ilmu penternakan haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di YouTube seperti rawatan untuk sakit perut dan cara-cara penjagaan anak kambing dan lembu yang baru lahir,” katanya ketika ditemui di kandang ba­panya di Kampung Baruh Tok Jiring di sini, semalam.

Anak sulong daripada lima beradik itu tidak kekok memberi makan, bergurau-senda dan bermain kejar-kejar de­ngan haiwan-haiwan ternakan itu persis ‘Mowgli’ versi kanak-kanak perempuan.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 di sini itu juga semakin mahir dengan penjagaan anak kambing dan lembu serta ternakan yang bunting dan penyakit-penyakit haiwan lain.

Katanya, dia bercita-cita mahu menjadi seorang doktor veterinar apabila dewasa kelak dan berminat dengan subjek Sains serta Bahasa Inggeris kerana ia adalah mata pelajaran penting untuk mencapai impiannya itu.

Sementara itu, Wan Mohd. Faizal Wan Zulkefli, 37, berkata, dia dan isteri, Shaima Nadhirah M.Muslim, 32, berbangga de­ngan hobi anak mereka dan sentiasa menyokong cita-citanya untuk menjadi seorang doktor veterinar serta usahawan ternakan yang berjaya satu hari nanti.

“Kalau saya tak bawa ke kandang setiap petang, dia merajuk kecuali ada alasan yang kukuh seperti berada di luar Terengganu atau tidak sihat.

“Dia terlalu sayangkan haiwan-haiwan ini malah di rumah pun dia ada bela hamster dan kambing kerdil ‘Nigerian Dwarf’ yang menjadi kesayangannya hingga tidak membenarkan saya untuk menjualnya,” katanya.

Ketika ini, dia memiliki 350 ekor kambing dan lembu di tiga kandang berasingan miliknya dan berhasrat mahu memperbesar perusahaan itu untuk menyahut seruan kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dalam bidang ternakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN