KEMAMAN: Padah menggunakan kru warga asing, sebuah bot nelayan yang dikendalikan empat nelayan warga Myanmar dan tekong tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut ditahan menerusi Op Iman kira-kira pukul 11.18 pagi di kedudukan sekitar 20 batu nautika dari Kuala Kemaman.
“Ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan, didapati sebuah vesel tempatan sedang menangkap ikan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas pemeriksaan dibuat, kita dapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan dan empat warga Myanmar yang mana kita syaki bot ini menggunakan kru asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ariffin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang warga Myanmar itu tiada permit lawatan kerja sementara daripada Jabatan Imigresen.
Menurutnya, kesemua nelayan berusia antara 34 tahun hingga 45 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut merampas kira-kira 400 kilogram hasil tangkapan serta diesel yang dianggarkan berjumlah 2,000 liter,” katanya. – UTUSAN











