DAP tidak pernah persoal isu Melayu, Islam - Zahid Hamidi

DAP tidak pernah persoal isu Melayu, Islam – Zahid Hamidi

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang di Institut Kemahiran Tinggi Perda-Tech di Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, DAP tidak pernah mempersoalkan apa-apa isu berkaitan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya, parti itu sentiasa menghormati malah tidak menentang sebarang program keagamaan yang diadakan.

Katanya, ia terbukti menerusi pelaksanaan Program Pra Tahfiz di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekali gus menunjukkan dakwaan Melayu dan Islam di bawah kerajaan Madani terancam adalah tidak berasas.

“Kita harus mengetahui bahawa DAP yang menjadi rakan kita di dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah menentang sekalipun terhadap program ini apabila saya bentangkan di dalam perbincangan Jemaah Menteri.

“Malah, mereka sangat berhati-hati terhadap Perkara 153 dalam perlembagaan iaitu kedudukan agama Islam, hak orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang di Institut Kemahiran Tinggi Perda-Tech di Bukit Panchor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap agar isu Islam terancam tidak lagi dijadikan bahan terutamanya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

“(Ini kerana) perkara-perkara ini sebenarnya telah mereka (DAP) nyatakan berkali-kali (Islam tidak terancam) dan saya harap perkara ini tidak menjadi isu di dalam kempen yang tinggal beberapa hari di Sungai Bakap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahidi berkata, program Pra Tahfiz yang melibatkan 10,843 tabika dan tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara menekankan soal pengajaran ayat-ayat Al-Quran termasuk ibadah solat.

“Selain pengajaran ayat-ayat Al-Quran, program ini memberi penekanan terhadap ibadah yang lain termasuk (ibadah) solat dan ini (pendidikan awal) yang kita (perlu) lakukan.

“InsyaAllah, menjelang tahun 2026 akan terdapat kira-kira 150,000 pelajar atau anak-anak di TABIKA dan TADIKA KEMAS yang akan mengikuti kelas pra tahfiz ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×