LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah kapal korek pasir dekat Tanjung Hantu, Segari, dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal korek itu dikesan pada kedudukan 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, kira-kira pukul 3.10 petang.
Menurutnya, kapal korek pasir yang dinamakan Chuan Hong 68 dan didaftarkan di Fuzhou, China, dikesan menurunkan sauh di lokasi tersebut oleh pasukan operasi kapal TLDM.
“Hasil daripada maklumat tersebut, anggota bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan operasi di perairan negeri ini telah diatur gerak ke lokasi berkenaan bagi memeriksa kapal tersebut,” jelas beliau hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati, kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu 47 kru yang terdiri daripada 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan seorang kru warga Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal korek tersebut gagal mengemukakan dokumen asal kapal, ‘port clearance’ atau kebenaran berlabuh dan seorang kru didapati tidak mempunyai nama dalam senarai nama kru kapal.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 60 tong gas petroleum cecair (LPG) untuk memasak seberat 14 kilogram (kg) berwarna kuning bernilai kira-kira RM9,000.
Beliau memaklumkan, semua tong gas itu didapati tidak memiliki dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Jelasnya, kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal, ‘port clearance’ dan seorang kru tiada dalam senarai nama kru kapal.
Kru dan kapal turut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah bagi membawa barangan kawalan. – UTUSAN











