SEREMBAN: Apabila disebut matoa, pasti ramai yang masih asing mendengarnya.
Namun, ia bukan menghairankan kerana buah yang juga dipanggil longan Brazil ini sukar diperoleh di pasaran.
Buah yang turut dikenali di beberapa tempat sebagai buah kristal dan buah tiga rasa juga masih tidak banyak ditanam oleh pekebun.
Justeru, harganya di pasaran juga agak tinggi iaitu sekitar RM30 sekilogram.
Seorang penanam pokok matoa, Nasura Mohd. Yusof, 63, berkata, ramai yang menggelarnya sebagai buah tiga rasa kerana mempunyai rasa seperti laici, rambutan dan durian.
Katanya, saiz matoa lebih besar berbanding longan malah isinya juga lebih tebal serta lebih puas dimakan.
“Saya menanam kira-kira 40 batang pokok matoa di dalam dusun dan kini tiga batang telah pun berbuah.
“Pokok buah ini ditanam bagi menarik kehadiran kelawar dan lebah kelulut yang merupakan ejen pendebungaan bagi pelbagai pokok buah durian yang saya tanam di dalam dusun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Chelogeh, Ulu Beranang, Lenggeng di sini.
Nasura memberitahu, matoa mempunyai potensi besar untuk ditanam dengan lebih meluas kerana permintaannya sentiasa meningkat.
“Pokok buah ini juga mudah dijaga, tahan lasak. Saya tidak bimbang sangat untuk menanamnya malah hanya diletakkan sedikit baja senang hidup malah buahnya juga banyak.
“Buah ini masih terhad di pasaran, tidak selalu dilihat dijual sebab itu harganya sedikit tinggi. Sebab itu bagi saya, matoa ini mempunyai potensi yang cukup baik kerana rasanya enak dan menarik,” jelasnya. – UTUSAN











