SHAH ALAM: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor menunggu keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri sebelum mengadakan perbincangan berkenaan kedudukan Datuk Abdul Rashid Asari selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang.
Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pimpinan parti peringkat negeri belum membuat perbincangan berkenaan perkara tersebut selepas notis kekosongannya baru diserahkan.
Bagaimanapun menurut Borhan, beliau menjangkakan perkara itu akan berbangkit dalam Mesyuarat Kedua Sidang DUN Selangor Penggal Ke-15 bermula Khamis ini khususnya bagi pihak pembangkang.
NOTIS
“Kita belum bincang sebab notis baru dihantar (oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kepada Speaker (Lau Weng San), dan beliau pastinya akan merujuk kepada pimpinan kerajaan negeri dan Penasihat Undang-Undang (Dtuk Salim Soib @ Hamid).
“Soal ini bagi pihak kerajaan ia tidak berbangkit kerana urusan tersebut adalah di peringkat parti (politik) kalau berlaku mungkin ia dibangkitkan oleh pihak pembangkang sama ada ketika bertanya soalan atau mencelah pada perbahasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kedudukan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid DUN Selangor akan ditentukan selepas Speaker menerima surat jawapan daripada beliau.
Menurut Abdul Rashid, beliau dimaklumkan akan menerima surat daripada Weng San dan perlu menjawabnya sebelum ia diputuskan.
Bagaimanapun, kata Abdul Rashid, keputusan tersebut dijangka diketahui pada sidang DUN bermula 4 Julai ini.
Malah menurut beliau, kedudukan kerusinya di dalam dewan negeri itu turut kekal pada blok pembangkang di antara ADUN Sijangkang Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi.
Abdul Rashid sebelum ini diberi notis gugur keahlian oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas beliau memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
DIBANGKIT
Dalam pada itu, berhubung sidang DUN yang akan berlangsung sehingga 18 Julai ini, Borhan berkata, terdapat beberapa perkara akan dibangkit dan dibahaskan termasuk pembentangan laporan pencapaian Rancangan Selangor Pertama (RS1).
“Selain itu, kerajaan negeri turut akan mengetengahkan perancangan berkenaan Tahun Melawat Selangor 2025 dan antara yang perlu dibangkitkan adalah soal pengurusan pelancongan.
“Ia timbul berikutan terdapat hal-hal yang perlu mendapat kerjasama daripada pihak berasingan seperti kesenian dan kebudayaan di bawah portfolio saya. Kemudian soal produk pelancongan, promosi dan sebagainya di bawah Tourism Selangor iaitu berkaitan portfolio Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim,” ujarnya. – UTUSAN











