PETALING JAYA: Kerajaan disaran melakukan program-program pencegahan dadah dengan secara meluas dalam mengurangkan penyalahgunaan bahan terlarang itu di negara ini.
Sehubungan itu, tindakan kerajaan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam menukar gelaran penagih atau penyalahgunaan dadah kepada pesakit adalah untuk mengurangkan jumlah penagih di dalam penjara.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, dianggarkan 800,000 penagih dadah dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan bahan terlarang itu, tahun lalu.
Katanya, isu dadah adalah masalah yang sangat kompleks dan ia tidak mampu diselesaikan dengan satu kaedah sahaja.
“Model i-Pulih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak boleh digunakan untuk semua penagih dadah dan itu menyebabkan sehingga sekarang masih gagal untuk mengurangkan ketagihan kepada dadah.
“Seorang penagih dadah dimasukkan ke dalam pusat pemulihan hampir empat kali setelah mendapatkan modul pemulihan yang sesuai untuk dirinya.
“Program-program pencegahan juga perlu dilakukan dengan lebih meluas dalam mengurangkan penagih dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, tiada lagi gelaran penagih dadah jika pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang bakal dibentangkan di Parlimen sebelum 18 Julai ini mendapat sokongan majoriti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penagih atau penyalahgunaan dadah akan diklasifikasikan sebagai pesakit selepas pindaan diluluskan.
“Kami (Kementerian Dalam Negeri atau KDN) telah menyelesaikan semua aturan untuk pindaan itu. Cadangan pindaan tersebut sebenarnya melibatkan proses libat urus yang lama dengan semua pemegang taruh dan semua agensi di bawah kementerian (KDN).
“Kemudian, kita bentangkan kepada jemaah menteri sebelum diberikan kelulusan. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan kelulusan,” katanya.
Raja Azizan menambah, akta yang mahu dipinda ini perlu dibaiki kerana terdapat kelonggaran walaupun fokus utama pindaan adalah untuk mengurangkan kemasukan penagih dadah ke dalam penjara.
“Apabila mahu mengubah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, perlu diubah juga Akta Dadah Berbahaya 1952. Sebagai contoh, Seksyen 15(1) yang terpaksa digunakan bagi kes-kes yang sudah kacau ketenteraman awam.
“Akta yang mahu dipinda ini perlu dilakukan dengan teliti bagi mencapai matlamat penyahjenayahan dengan baik.
“Elemen penyahjenayahan adalah untuk menyahjenayah kepada pengguna dadah. Namun, matlamatnya bukan sahaja tidak mahu dihantarkan ke penjara malah diberikan rawatan mengikut keparahan kerana terdapat banyak kategori pengguna dadah,” ujarnya. – UTUSAN











