Pindaan Akta Audit 1957 perkukuh mandat Ketua Audit Negara - Utusan Malaysia

Pindaan Akta Audit 1957 perkukuh mandat Ketua Audit Negara

parlimen
GAMBAR hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan Akta Audit 1957 atau Akta 62 akan meliputi perwujudan kuasa baharu dan perluasan tugas serta penambahbaikan dalam aspek perjalanan kuasa dan pelaksanaan mandat Ketua Audit Negara.

Menurut maklumat Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN), pindaan itu bertujuan untuk memperkasakan peranan institusi Ketua Audit Negara selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk menambah baik tatakelola negara dan akauntabiliti sektor awam.

“Akta 62 dipinda dengan memasukkan seksyen baharu 9A untuk memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara menjalankan susulan audit bagi memastikan tindakan diambil terhadap syor, ulasan atau pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam menjalankan kuasa ini, Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa mengemukakan laporan susulan audit kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh mengemukakan salinan laporan sedemikian kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri atau kepada Menteri,” kata kenyataan itu.

Bacaan Pertama RUU Audit (Pindaan) 2024 itu telah dibentangkan dan dibacakan di Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, di bawah pindaan itu, ia melibatkan perwujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada beberapa peruntukan sedia ada seperti pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.

Ia juga melibatkan pengauditan melalui pendekatan ‘Follow The Public Money Audit’ tertakluk kepada Kementerian Kewangan atas dasar kepentingan awam.

Malah ia turut membabitkan kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang melibatkan pengauditan dan pelaksanaan audit susulan terhadap apa-apa syor, pemerhatian atau pandangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Dalam pada itu, menurut satu kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), pindaan yang dibuat pertama kali dalam tempoh 33 tahun akan meliputi perwujudan kuasa baharu dan perluasan tugas serta penambahbaikan dalam aspek perjalanan kuasa dan pelaksanaan mandat Ketua Audit Negara.

“Tujuan pindaan akta ini adalah untuk memperbaiki dan memperkukuh tatakelola dan tadbir urus pentadbiran negara terutama dalam aspek pengurusan kewangan negara yang meliputi skop pengukuhan akta melalui peruntukan baharu selaras dengan keperluan dan kehendak semasa dan perluasan bidang tugas Ketua Audit negara.

 “Pindaan ini pastinya akan memberi impak positif terhadap pengukuhan peranan Jabatan Audit melalui skop pengauditan lebih komprehensif dan memastikan syor audit diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya bagi memberikannya peranan lebih signifikan dalam memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang dalam pengurusan wang awam negara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN