SEREMBAN: Seramai 142 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan (JIMNS) di sekitar daerah Kuala Pilah selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil operasi tersebut pihaknya mendapati ramai dalam kalangan PATI yang ditahan dipercayai berpindah ke sekitar daerah Kuala Pilah akibat daripada operasi yang giat dilaksanakan di Seremban dan Nilai.
“Operasi ini dijalankan di 34 buah premis berasingan. Seramai 315 orang dari pelbagai warganegara diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 142 orang PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kata beliau lagi, kesemua PATI yang ditahan berasal dari Myanmar, Pakistan, Indonesia, Bangladesh, Kemboja dan India dengan kesemuanya berusia di antara 21 hingga 54 tahun.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat cubaan warga asing melarikan diri kerana ketakutan apabila ternampak pasukan Imigresen melakukan serbuan di Kawasan operasi. Ada antara mereka bertindak nekad bersembunyi di atas siling bagi mengelak daripada dicekup.
“Selain itu juga, berlaku pergelutan antara warga asing dengan pihak Imigresen di salah sebuah premis. Namun kesemuanya telah berjaya diberkas oleh pasukan serbuan,” katanya.
Kennith Tan berkata, kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak 19 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan dan penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.-UTUSAN.











