SEREMBAN: Buku berusia lebih 50 tahun malah yang sukar diperoleh merupakan antara koleksi disimpan rapi di Bistro Pustaka dekat Jalan Cempaka 24, Desa Cempaka, Nilai di sini.
Buku bertajuk Leader’s of Malaya-Who’s Who terbitan 1956 oleh Sir Sydney Caine dan diolah kembali J. Victor Morais antara paling lama disimpan sejak kedai buku terpakai itu beroperasi pada 2016.
Pemilik dan pengurus Bistro Pustaka, Ahmad Saifuddin Amran berkata, kedai itu juga menyimpan buku akademik dan komik.
“Saya mempunyai sebuah lagi kedai buku akademik di Seksyen 3, Petaling Jaya, Selangor beroperasi sejak 2014.
“Apabila ditawarkan mengambil alih kedai ini daripada pemilik asal, saya terus bersetuju kerana rasa sayang pada buku terpakai tersebut daripada dilupuskan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, sebagai pencinta buku, bahan-bahan bacaan sedemikian pastinya memberikan nilai sentimental tersendiri.
“Bistro Pustaka mempunyai lebih 20,000 koleksi buku seperti genre ilmiah, sastera, sejarah dan novel,” katanya.
Ujarnya, semua bahan bacaan itu diperoleh dari pelbagai sumber sama ada beli daripada orang perseorangan, secara pukal daripada syarikat, sekolah, perpustakaan malah ada juga individu datang menjual atau memberikan terus.
“Buku paling murah boleh didapati pada harga RM1 di sini.
“Setakat ini buku paling mahal pernah dijual berharga RM100 iaitu koleksi penulisan Ainun Mohd,” katanya yang turut memasarkan jualan buku secara dalam talian. – UTUSAN











