PASIR SALAK: Pelancong kecewa apabila tidak dibenarkan melawat Rumah Datuk Maharajalela di Kompleks Pasir Salak di sini yang sudah siap dibaik pulih sejak dua tahun lalu.
Seorang pelancong, Noorhayati Murad, 41, berkata, keadaan itu menyebabkan dia terkilan kerana datang dari Sabah untuk melihat hingga bahagian dalam rumah tokoh pejuang negara itu.
Katanya, dia hanya dibenarkan melihat rumah itu dari jauh dan tidak tahu kenapa pengunjung tidak dibenarkan untuk melihat rumah itu dari dekat atau masuk ke bahagian dalam.
“Saya dan kawan-kawan sudah lama mahu melawat Rumah Datuk Maharajalela dan gembira apabila membaca rumah ini yang lama terbiar akhirnya siap dibaik pulih, Rumah ini cantik, saya pasti rumah ini penuh dengan sejarahnya.
“Saya dan kawan-kawan datang dari jauh, dari Tuaran, Sabah datang bercuti ke Perak dan langsung ke Kompleks Sejarah Pasir Salak bersama-sama. Namun kami kecewa kerana tidak dapat melihat rumah ini dari dekat apatah lagi untuk masuk ke bahagian dalam.
“Hairan rumah yang penuh sejarah itu sudah siap sepenuhnya tetapi kami tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan yang bertugas di situ,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia sudah dua kali datang ke Pasir Salak pada cuti sekolah tahun lepas dan ketika itu masih tidak dibenarkan masuk.
Katanya, kali ini dia datang lagi dengan harapan pengunjung sudah dibenarkan masuk.
“Saya hanya dapat melihat rumah tokoh pejuang negara ini dari jauh. Rugi rasanya kerana rumah ini sudah siap dibaik pulih tetapi pengunjung tidak boleh masuk,” katanya.
Dalam pada itu, Noorhayati memuji usaha kerajaan membaik pulih rumah tersebut yang sebelum ini lama terbiar sehingga keadaannya menjadi usang.
Katanya, rumah itu bukan sahaja cantik dari segi seni binanya tetap juga mempunyai nilai warisan sejarah yang tinggi untuk negara.
“Saya difahamkan rumah ini dibina mengikut reka bentuk asal. Ini sudah tentu dapat memberikan gambaran kepada generasi hari ini yang melawat rumah ini bagaimana rumah pejuang dahulu.
‘’Saya berharap rumah ini dibuka untuk pelancong agar mereka dapat melihat bagaimana keadaan dalam rumah yang pernah didiami tokong pejuang negara yang berkorban demi menentang penjajah Inggeris,” katanya.
Sebelum ini, Rumah Datuk Maharajalela di Kompleks Sejarah Pasir Salak terbiar lebih 10 tahun dan kerajaan memberikan peruntukkan untuk rumah tersebut dibaik pulih. –UTUSAN











