PENAMPILAN selebriti popular China, Fan Bing Bing di Melaka baru-baru ini memukau perhatian ramai kerana keayuan dan keanggunannya mengayakan tiga jenis kebaya berbeza.
Walaupun pertama kali menyarung busana tradisi orang Melayu dan Cina peranakan tetapi Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 ini tidak nampak kekok atau janggal.
Sekali imbas persis wanita peranakan, dengan sanggul bunga dan tocang ringkas yang menyerlahkan lagi gaya klasik minimalisnya.

Dua daripada busana itu adalah daripada koleksi Emas sentuhan pereka terkenal, Khoon Hooi iaitu kebaya labuh renda putih dengan kain satin biru laut diikuti kebaya pendek rona merah jambu berlabuci.
Koleksi ini diinspirasikan daripada kenangan zaman kecilnya melihat keindahan baju kebaya yang dipakai nenek.
Penggunaan siluet di samping suntikan nuansa kontemporari digabung dengan sempurna sebagai tanda penghormatannya kepada pakaian tradisi.
“Kebaya labuh renda putih Aleeya mampu menyerlahkan lagi kewanitaan si pemakai dengan kain yang dihiasi manik dari pinggang hingga ke bawah.
“Manakala kebaya pendek berlabuci Raline pula membangkitkan pesona manis Bing Bing dengan kemasan renda tepi dan kerongsang mutiara rama-rama,” katanya baru-baru ini.

Satu lagi busana yang digayakan jelitawan berusia 43 tahun ini ialah kebaya nyonya ilham pereka, Kenny Loh.
Kebaya rona merah jambu dengan kain batik biru itu menampilkan motif bunga kekwa pada baju.
Menariknya, bunga kekwa dihasilkan berwarna-warni sekali gus menjadi simbolik kepada kegembiraan, kesejahteraan dan kebahagiaan.
“Kekwa merah melambangkan cinta mendalam, manakala kuning bermaksud kesejahteraan dan ungu pula penghormatan.
“Saya padankan motif kekwa dengan fabrik kapas voile berwarna merah jambu kerana rona itu sinonim dengan kelembutan dan emosi positif,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Lantikan jadi kontroversi
Nama Bingbing dan Melaka merekodkan lebih satu bilion carian dalam aplikasi WeChat di China pada 14 dan 15 Jun lalu.
Perkembangan itu membuktikan yang pelantikannya sebagai duta TMM 2024 adalah tepat dalam meletakkan bandaraya bersejarah itu di peta pelancongan dunia.
Bagaimanapun, pelakon utama dalam drama The Empress of China itu turut berdepan kontroversi kerana dianggap tidak sesuai memegang tanggungjawab mempromosikan Melaka.
Antara dakwaan yang dilemparkan adalah duta seharusnya dilantik dalam kalangan rakyat tempatan yang lebih memahami dan menghargai budaya serta warisan negeri.
Tambahan pula, Bing Bing pernah terpalit isu-isu peribadi yang negatif dan berisiko memberikan kesan negatif kepada reputasi Melaka.
Namun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tempias daripada populariti selebriti itu secara tidak langsung membantu mempromosikan negeri. – UTUSAN










