Dua ekor kucing ‘beritahu’ kehadiran tedung selar - Utusan Malaysia

Dua ekor kucing ‘beritahu’ kehadiran tedung selar

TEDUNG selar sepanjang empat meter dengan berat kira-kira 35kg berjaya ditangkap anggota APM Daerah Baling di Kampung Asam Jawa, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang suri rumah yang hairan melihat gelagat dua ekor kucing peliharaanya terkejut apabila mendapati haiwan itu seolah-olah mahu memberitahu kelibat seekor ular tedung selar yang berada di rumah bapanya, pagi ini.

Zaleha Ismail, 57, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika dia berkunjung ke rumah bapanya, Ismail Che Nes, 86, yang tinggal seorang diri di Kampung Asam Jawa, di sini.

Katanya, menjadi kebiasaan setiap hari untuk kedua-dua kucing itu mengekorinya dari rumah yang terletak tidak jauh dari rumah bapanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi pagi tadi kelakuan dua ekor kucing itu agak pelik sehingga menjadi agresif dan mencakar-cakar di bawah rak pinggan serta langsung tidak menghiraukan panggilan saya.

“Selepas itu saya mengambil lampu suluh untuk melihat di bawah rak pinggan itu dan alangkah terkejutnya apabila mendapati seekor ular tedung selar sedang berlingkar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zaleha berkata, dia bersyukur kerana bapanya yang mengalami masalah penglihatan tidak diserang ular terbabit yang sepanjang empat meter dengan berat kira-kira 35 kilogram (kg).

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, ular terbabit antara reptilia paling besar yang berjaya ditangkap oleh empat anggotanya.

“Lebih 25 minit masa diambil oleh anggota APM untuk menangkap ular tedung selar itu kerana ia agak agresif dan berbahaya. Reptilia itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN