IPOH: Deputi Superintenden, Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima Disember lalu, memohon dibebaskan dengan jaminan atas alasan dia tidak bersalah.
Menurut pegawai kanan polis berusia 45 tahun itu, dia masih belum didapati bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.
Itu antara alasan dikemukakan pasukan pembelaan diketuai Jacky Loi Yap Loong dalam afidavit yang difailkan sebelum ini.
Peguam memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.
Untuk rekod, pada 23 November 2006, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibebaskan dengan jaminan RM1 juta.
Pada prosiding terdahulu Mei lalu, Jacky Loi memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan berhubung ikat jamin terhadap lelaki itu.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan mereka berhubung perkara berkenaan.
Mahkamah Tinggi hari ini kemudian menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pada tarikh tersebut mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran permohonan jaminan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen.
Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmin Khalid.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pertuduhan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN









