Rasa unik durian Bunga Merah - Utusan Malaysia

Rasa unik durian Bunga Merah

MOHD. Zahari Ali (kanan), Tuan Adnan (kiri) dan rakan mereka, Zulkefli Mohammad menikmati isi buah durian Bunga merah yang terdapat di Kampung Kapal, Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seperti kebanyakan jenis durian hutan yang lain, durian Bunga Merah yang berada di Kampung Kapal, Ulu Beranang, Lenggeng di sini juga mempunyai rasa yang unik.

Diberi nama tersebut kerana bunganya yang berwarnya merah, isi buah durian itu mempunyai rasa berlemak namun tidak begitu manis, sedikit bergas dan mengeluarkan bau yang sedikit tengik.

Mungkin bagi kebanyakan orang ‘tidak tahan’ dengan rasa itu namun ia mempunyai peminatnya tersendiri apatah lagi ia merupakan daripada jenis buah durian yang jarang ditemui.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut pekebun durian, Mohd. Zahari Ali, 65, buah durian tersebut hasil dari sebatang pokok yang sudah berusia ratusan tahun.

Katanya, ada yang telah mendaftarkan buah durian bunga merah sebagai varieti baharu dengan nama durian L13 sebagai durian klon namun pokok durian daun merah yang terdapat di dusunnya itu masih lagi asli sebagai durian hutan.

“Seperti buah durian hutan yang lain, rasanya memang sedikit kuat namun tetap ada penggemarnya. Setakat ini saya belum menjualnya secara terbuka kerana buahnya masih belum banyak cuma berkongsikan dalam kalangan rakan dan rakan pekebun durian yang lain.

“Namun sudah ada pihak yang pernah merasai buah durian ini yang sanggup untuk memajak pokok ini namun saya tidak memberi kebenarannya,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi pekebun durian, Tuan Adnan Tuan Ali, 47, memberitahu, durian daun merah tersebut mempunyai rasa seperti tapai ubi.

“Keunikannya juga ia ada aroma seperti bunga, ada rasa tapai ubi kerana ia agak bergas, berlemak dan manis dan baunya juga tengik dan bentuk duri buahnya juga seperti durian hutan lain,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN