KEMAMAN: Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Seberang (SK) Tayor, dekat sini, menghasilkan sabun pelbagai guna menggunakan minyak masak terpakai bagi memulihara kelestarian alam sekitar.
Nor Halimah Sa’diah Awang@Abdullah, 50, berkata, beliau mula menghasilkan sabun sejak tiga tahun lalu untuk pelbagai kegunaan di kediamannya termasuk mencuci pinggan, pakaian dan tubuh badan.
“Bagi menghasilkan sabun ini, saya hanya menggunakan tiga bahan iaitu minyak masak terpakai, air dan sodium hidroksida.
“Ketiga-tiga bahan ini akan dilarutkan menggunakan pengisar dengan sukatan tertentu sebelum dituang ke dalam bekas acuan,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak anjuran Petronas kelmarin.
Nor Halimah Sa’diah berkata, acuan tersebut kemudiannya perlu direhatkan kira-kira sebulan bagi memastikan ia selamat digunakan.
“Saya telah menggunakan sabun daripada minyak masak terpakai ini sejak tiga tahun lalu dan saya dapati sabun ini juga sesuai untuk mereka yang mengalami ekzema.
“Walaupun belum diuji secara klinikal, namun sabun yang saya hasilkan ini tidak memudaratkan kerana mengandungi gliserin semulajadi yang lembut pada kulit. Anak saya sendiri yang mengalami ekzema, sesuai menggunakan sabun ini,” katanya.
Nor Halimah Sa’diah berkata, dia mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk melakukan percubaan dan kajian sebelum dapat menghasilkan sabun pelbagai guna tersebut.
“Saya bukan hanya sekadar belajar menerusi atas talian, malah saya turut menyertai bengkel pembuatan sabun dan pemprosesan minyak kitar semula kerana saya tidak mahu minyak yang telah digunakan, dibuang begitu sahaja yang pastinya akan menjejaskan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN











