PETALING JAYA: Kos bagi melaksanakan lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) dianggar mencecah RM35 juta sekiranya semua kerusi dimenangi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diisytiharkan kosong.
Ia membabitkan enam kerusi Parlimen iaitu Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang, Gua Musang, Jeli dan Labuan dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Selat Klang, Selangor dan Nenggiri, Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu mengumumkan PRK DUN Nenggiri yang diisytiharkan kosong oleh Yang Dipertua DUN Kelantan, menelan kos RM1.6 juta.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah itu mengambil kira perbelanjaan SPR untuk menguruskan semua urusan perjalanan pilihan raya termasuk kos percetakan, pengangkutan dan elaun petugas.
Katanya, jumlah itu mungkin bertambah sekiranya kawasan pengundian terletak jauh di pedalaman dan memerlukan pengangkutan udara dan air.
“Sebagai contoh, baru-baru ini Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap dimaklumkan telah menelan kos RM2.1 juta, ini baru satu kawasan DUN. Belum lagi satu kawasan Parlimen yang mempunyai dua hingga tiga kawasan DUN.
“Misalnya, Kuala Kangsar ada dua kawasan DUN, maka kos ini dijangka mencecah RM4 juta. Ini baharu satu Parlimen, bukan lagi kawasaan lain sekiranya berlaku kekosongan luar jangka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahliannya secara serta merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Jika berlaku kekosongan, maka SPR perlu mengadakan PRK, namun setakat ini hanya DUN Nenggiri diisytiharkan kosong.
Pada 2 Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu dilucutkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu di samping tindakan mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Selain itu, Mohd. Azizi (ADUN Nenggiri) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, perbelanjaan kos mengadakan PRK sehingga mencecah jumlah agak tinggi dilihat merugikan kerajaan dan rakyat dalam keadaan negara berdepan masalah kewangan manakala kehidupan masyarakat pula susah akibat kos barangan keperluan terus meningkat.
Namun katanya, kos pilihan raya tidak boleh dielakkan meskipun menelan perbelanjaan tinggi di saat negara berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Kata Wan Ahmad, pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana pengundian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di Parlimen dan DUN.
“Jika berlaku kekosongan kerana kematian wakil rakyat atau sebab lain, memang perlu diadakan pilihan raya untuk pilihan ahli Parlimen atau ADUN baharu.
“Ini tidak boleh dielakkan apatah lagi untuk menggunakan dana awam untuk menguruskan pilihan raya kerana ia merupakan salah satu amalan demokrasi di negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM), Mujibu Abd Muis berkata, Perikatan Nasional (PN) berpotensi lemah sekiranya tiada kekosongan melibatkan tujuh wakil rakyat Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri.
Katanya, situasi itu secara tidak langsung bakal menarik lebih ramai ahli Parlimen dan ADUN pembangkang menyokong Perdana Menteri walaupun ia dilihat bertentangan dengan arahan dan keputusan kepimpinan parti.
Namun beliau melihat senario itu boleh terjadi sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan tiada kekosongan berlaku ekoran pemberhentian serta-merta keahlian wakil rakyat daripada Bersatu.
“Senario kedua adalah jika berlaku kekosongan kerusi. Situasi itu boleh menarik segelintir ahli-ahli Parlimen kerajaan termasuk daripada UMNO untuk menyokong PN. Namun saya melihat situasi ini agak mustahil berlaku, kerana adalah lebih baik mereka berada dalam kerajaan berbanding duduk sebagai pembangkang,” katanya. – UTUSAN











