PUTRAJAYA: ‘Kenyataan dibuat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli itu berbaur kesombongan yang luar biasa selain, memberi refleksi koyak dengan suara rakyat’.
Itu reaksi Penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus mengulas kenyataan dibuat Menteri Ekonomi itu yang disifatkannya cuba memperlekeh gelombang dicetuskan oleh rakyat.
Beliau yang dikenali sebagai YB Viral berkata, kehadiran rakyat pada Himpunan Rakyat Lawan Anwar di perkarangan Kompleks Seri Perdana kelmarin adalah isyarat bagus sebagai permulaan.
“Walaupun dihalang (himpunan), saya dan pasukan mendapati jumlah peserta himpunan semalam adalah dalam lingkungan 480 hingga 510 orang.
“Ini adalah permulaan bagus walaupun telah cuba digagalkan oleh Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan konco-konconya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Rafizi pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap, kelmarin
Rafizi menjelaskan beliau tiada masalah sekiranya protes rakyat di adakan di mana-mana, bahkan di depan ‘kucingnya’ dan merasakan itu hak masing-masing.
“Dia nak protes dengan kucing saya pun boleh. Tak ada masalah.
“Sebagai anggota pentadbiran (dalam) Kerajaan Madani, saya merasakan itu hak masing-masing (untuk melakukan demonstrasi),” katanya dalam sidang akhbar.
Menurutnya lagi, penganjur himpunan bebas menggunakan hak mereka untuk mengadakan protes asalkan ia tidak melanggar undang-undang.
Dalam pada itu, Aidil berkata, beliau mengakui ada usaha dari pihak kerajaan untuk menggagalkan himpunan itu dengan menggunakan Ketua Polis Kuala Lumpur serta kekangan di media sosial.
Perhimpunan pusingan pertama Himpunan Rakyat Lawan Anwar di perkarangan Kompleks Seri Perdana, Presint 10, itu disertai sekitar 300 peserta.
Himpunan bermula pukul 5 itu berakhir pukul 6.40 petang dengan kawalan ketat oleh anggota polis daripada IPD Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun.
Bagaimanapun, penganjur merasakan mereka berhak untuk berhimpun dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.











