Melaka bantu Jalur Rempah dapat pengiktirafan UNESCO

Melaka bantu Jalur Rempah dapat pengiktirafan UNESCO

ABDUL RAZAK Abdul Rahman bergambar kenangan bersama peserta MBJR 2024 di pekarangan Muzium Rakyat, Jalan Kota, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia bagi memastikan Jalur Rempah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bagaimanapun ia bakal dibincangkan terlebih dahulu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Luar Negeri.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa induk antara kedua-dua negara akan ditubuhkan tidak lama lagi dalam usaha mengangkat Jalur Rempah diiktiraf oleh UNESCO.

“Kerajaan negeri melihat Jalur Rempah sebagai sebuah program yang mengkaji
dan menilai semula sejarah dan dokumentasi laluan rempah yang menjadi hubungan pertukaran budaya dan sejarah di Nusantara.

“Melalui laluan rempah ini, Melaka merupakan salah sebuah pusat perdagangan yang terkenal di dunia suatu masa dulu, di mana ia menjadi titik pertemuan antara Malaysia dan Indonesia.

“Selain itu, kita dapat mempertahankan kebudayaan dan kesenian yang telah lama wujud antara Melaka dan Indonesia sejak sekian lamanya,” katanya selepas merasmikan program Muhibah Budaya Jalur Rempah (MBJR) 2024 di pekarangan Muzium Rakyat, Jalan Kota di sini, hari ini.

Hadir sama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono dan Direktor Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Research & Teknologi Indonesia, Hilmar Farid.

Sementara itu, Hilmar berkata, Kerajaan Indonesia menyambut baik hasrat Melaka membantu Jalur Rempah mendapat pengiktirafan UNESCO.

Menurutnya, UNESCO memberikan dorongan bagi mewujudkan kerjasama antara negara untuk memperkuatkan lagi keyakinan badan induk dunia itu.

“Jalur Rempah ini adalah warisan milik dunia bukan dari negara ke negara dan perlunya kerjasama kerana Melaka adalah sebuah pelabuhan tersohor dengan kehadiran ramai pedagang seantero dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×