SKMM belum terima aduan, permohonan bantu siasatan polis - Nie Ching - Utusan Malaysia

SKMM belum terima aduan, permohonan bantu siasatan polis – Nie Ching

TEO NIE CHING (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada salah seorang pelajar cemerlang SPM 2023 Parlimen Kulai di Pejabat Perdidikan Daerah Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menerima permintaan daripada pihak polis untuk membantu siasatan melibatkan pemilik akaun media sosial yang mendakwa Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terlibat dalam tuduhan rasuah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.

“SKMM adalah agensi yang mempunyai kepakaran teknikal untuk menyiasat kes ini dan kami sedia beri bantuan kepada polis. Walau bagaimanapun, setakat ini kami masih belum terima aduan atau permohonan untuk membantu siasatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal dibuat mendapati dakwaan itu tular menerusi aplikasi WhatsApp, ini berbeza dengan platform media sosial lain kerana ia melibatkan ‘encrypted message’ yang mana hanya penerima dan pengirim tahu kandungan mesej berkenaan.

“Sehubungan itu, kami juga mengalu-alukan aduan daripada orang awam untuk melaporkan sebarang dakwaan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan Kulai, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kenyataan fitnah terhadap Tunku Mahkota Ismail yang mendakwa kononnya baginda terbabit rasuah bernilai RM20 juta adalah hasutan berniat jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Fitnah itu menuduh Tunku Mahkota Ismail terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Sementara itu, mengulas tentang isu pembelian saham Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock, Ahli Parlimen Kulai itu memberitahu, agensi media rasmi kerajaan telah diarah memberi penjelasan berkaitan isu berkenaan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi telah minta RTM, Bernama dan  Jabatan Penerangan untuk membuat laporan berdasarkan penjelasan rasmi diberi kerajaan. 

“Ini bertujuan untuk memastikan tiada salah faham berlaku dan lebih ramai masyarakat mendapat maklumat lengkap dan jelas berkaitan isu pembelian saham berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini