700,000 pelancong luar, dalam negara lawat Kelantan

700,000 pelancong luar, dalam negara lawat Kelantan

TENGKU Muhammad Fakhry Petra (dua kanan) berkenan memberi sumbangan kepada Tabung Save Palestine pada Program Night Walk Tengku Mahkota Kelantan di Dataran Kesedar Putra, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hampir 700,000 pelancong dari luar dan dalam negara telah melawat negeri ini sepanjang enam bulan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Noor bagaimanapun berkata, pihaknya menyasarkan jumlah 2 juta pengunjung ke negeri ini dalam tempoh setahun.

Menurutnya, jumlah itu mampu dicapai menerusi pelbagai usaha mempromosi Kelantan menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan dari luar negara.

“Masalah di Kelantan ialah kita tidak ada Lapangan Terbang Antarabangsa. OLeh itu kita hanya mengharapkan untuk mencatat jumlah kemasukan dari luar negara melalui pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand seperti Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Buketa di Bukit Bunga. 

“Paling ramai pelancong luar datang ke Kelantan adalah melalui pintu masuk Rantau Panjang. Bagaimanapun, kita dapati jumlah pengunjung melalui pintu di dua lagi pintu sempadan di Thailand sudah banyak meningkat,” katanya kepada pemberita sempena Program Night Walk With Tengku Mahkota Kelantan Peringkat Jajahan Gua Musang 2024 di bandar Gua Musang, malam tadi.

Kira-kira 1, 000 rakyat telah menyertai acara berjalan bersama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Kamarudin memberitahu, pertambahan barangan di kawasan bebas cukai di sempadan negeri ini juga menyumbang kepada jumlah bilangan pelancong dari luar. 

Katanya, hasil lawatan serta tinjauan di kawasan kedai bebas cukai di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang mendapati lokasi itu menjadi lebih meriah dengan pelbagai barangan yang dijual berbanding empat tahun lalu.

“Saya dapat maklum balas daripada pengunjung mereka seronok pergi membeli belah di pasar kawasan bebas cukai,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×